Sekatan imigresen jika perlu

KUCHING: Sarawak mungkin perlu melakukan sekatan imigresen untuk mengawal kemasukan pelawat asing khasnya dari China sekiranya penularan novel koronavirus semakin kronik.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pada masa ini tiada keperluan untuk berbuat demikian dan berharap penularan wabak ini akan reda.

“Kita lihat keadaan, ia buruk atau tidak. Kita harap keadaan akan reda dan sekiranya perlu, saya percaya kemungkinan kita perlu melakukan seperti itu (sekatan imigresen) sekiranya keadaan menjadi lebih kronik.

“Tapi buat masa ini, saya rasa tidak perlu lagi kerana kita tidak mahu menimbulkan kebimbangan kepada umum,” katanya.

Beliau ditemui media semasa mengiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina di kediaman Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian di sini, Ahad lalu.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, beliau mungkin akan menangguhkan lawatannya ke Hainan, China pada Februari nanti bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Hainan Airlines ekoran penularan wabak itu di China.

Katanya MoU itu untuk mewujudkan penerbangan terus di antara Haikou, Hainan dan Kuching, Sarawak yang dijadual dilancar pada suku pertama tahun ini.

“Saya tengok dulu sama ada perlu tangguh atau tidak MoU ini, sebab penularan wabak ini sangat serius,” katanya.

Hainan Airlines, syarikat penerbangan bertaraf lima bintang SKYTRAX antarabangsa dijangka melancarkan jadual penerbangan terus di antara HaikouKuching pada Mac 2020.

Ia dijangka mengendalikan dua hingga tiga penerbangan seminggu menggunakan pesawat B737-800 dengan 164 kerusi ekonomi termasuk lapan kerusi kelas perniagaan.

Syarikat penerbangan itu kini berada di peringkat akhir cadangan mendapatkan slot pendaratan sementara menunggu kelulusan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam China dan Malaysia.

Dengan ada penerbangan terus di antara kedua-dua wilayah ini, ia secara tidak langsung meningkatkan sistem perhubungan udara Sarawak dengan negara luar sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan, khasnya dalam membawa kemasukan pelancong dari China.

Suara Sarawak