Sekatan jalan raya zon merah bermula

SIBU: Pihak berkuasa di sini sedang giat menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) Zon Merah bagi PKPB bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, SJR telah pun bermula di dua kawasan di sini pada tengah malam tadi.
Ujar beliau, ia bagi menyekat penularan wabak COVID-19 yang sangat membimbangkan khususnya penularan Kluster Pasai.
“Dua SJR dilaksanakan di Bulatan Paradom dan Batu 12, Jalan Sibu-Bintulu.
“Sementara itu, SJR di Jalan Pasai-Siong telahpun bermula pada Sabtu lalu,” katanya ditemui sebentar tadi selepas mengadakan tinjauan SJR di Bulatan Paradom di sini.
Menurut beliau lagi, seramai empat anggota polis bersama-sama lapan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan mengikut giliran bertugas di SJR itu.

SEKATAN…Stanley ketika meninjau SJR di Bulatan Paradom di Sibu, hari ini.

“Kita hanya membenarkan mereka yang tersenarai dalam perkhidmatan perlu diberikan untuk rentas daerah/zon.
“Bagi mereka yang melakukan pergerakan keluar dan masuk zon merah memerlukan kebenaran polis,” jelas beliau.
Stanley memberitahu, borang untuk rentas daerah/zon boleh didapati di semua balai polis di sini.
“Untuk permulaan dua hari PKPB dilaksanakan, kami akan memberi nasihat terlebih dahulu kepada mereka yang tidak mempunyai permit perjalanan dan tindakan yang sewajarnya akan diambil selepas itu.
Tegas beliau, di bawah Peraturan 7 Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit Peraturan-Peraturan (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2020, mereka yang ditahan melakukan perjalanan antara daerah tanpa permit perjalanan boleh didenda RM1,000.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan mereka yang dikuarantin di rumah selama 14 hari agar tidak melanggar peraturan (tidak keluar dari rumah) dan pihaknya tidak akan berkompromosi untuk mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang ingkar.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidil Ismail berkata, seramai 308 petugas daripada polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terlibat sepanjang tempoh Sekatan Jalan Raya.
Menurutnya, lima sekatan didirikan di Zon Kuching (Kuching, Padawan, Serian, Samarahan, Bau dan Lundu).
Manakala, empat lagi sekatan dilaksanakan di Zon Sibu merangkumi Sibu dan Sarikei manakala Zon Miri hanya meliputi Miri sahaja.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Zon Merah mulai 13 Januari hingga 26 Januari ini.