KUCHING: “Janji hanya tinggal janji”.
Demikian kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai tindakan Kerajaan Persekutuan yang sehingga kini tidak menunaikan janji membaik pulih lebih 1,000 sekolah daif di Sarawak.
Beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak memberikan komitmen dengan membayar hutang yang ada dengan harapan duit tersebut dapat digunakan kembali bagi membaik pulih sekolah di negeri ini.
“Kerajaan Persekutuan menyatakan mereka tiada dana hendak baik pulih sekolah.
Jadi, Kerajaan Sarawak kasihan dengan situasi ini, maka kita pun bayarlah hutang dengan cepat.
“Perjanjian persetujuan juga telah ditandatangani selepas RM350 juta yang pertama dan RM350 juta yang kedua telah kita bayar, namun sehingga kini janji tersebut hanyalah janji,” katanya semasa sidang media Samarahan Duathlon 2020 di Bangunan Baitul Makmur semalam.
Beliau mengulas mengenai desakan Ketua Penerangan Pas Negeri Sarawak Zharudin Narudin yang mahu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg lebih tegas dalam isu sekolah daif di negeri ini.
Dalam pada masa yang sama beliau turut menyamakan situasi tersebut dengan janji Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen yang sejak dahulu melaungkan memberi balik cukai lima peratus minyak dan gas kepada 20 peratus dalam manifesto pilihan raya yang lalu.
“Semua janji hanya tinggal janji, termasuk janji untuk memberikan geran tanah di Kampung Selangan Batu selepas PH menang.
“Chong Chieng Jen sangat mahir dalam memberi umpan kepada masyarakat dalam situasi ini, namun yang pasti kita bukan tidak tahu berfikir,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abdul Karim berharap agar semua rakyat Sarawak jangan mudah terpengaruh dengan semua janji dari pada PH.
“Gunakan undian anda itu dengan sebaiknya dan gunakan kebijaksanaan untuk menilai dengan sebaik mungkin tindakan yang belum lagi tertunai sehingga kini,” tegasnya.