Sekolah di beberapa wilayah di Jepun dibuka semula

OSAKA: Beberapa wilayah di Jepun membuka semula sekolah pada Khamis yang sebelum ini ditutup untuk membendung wabak COVID-19, menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa, pelajar dan murid tidak mematuhi peraturan penjarakan sosial, lapor agensi berita Kyodo.

Sekolah di wilayah Aomori dan Tottori yang pertama dibuka semula, walaupun darurat di seluruh negara diisytiharkan bulan lalu dan kemudian dilanjutkan hingga akhir Mei oleh Perdana Menteri Shinzo Abe.

Kira-kira 140 murid menghadiri kelas di wilayah Tottori yang ditutup sejak 27 April.

“Saya bosan duduk di rumah, jadi saya gembira (dapat kembali) ke sekolah,” kata Kanau Sakamoto, 8.

“Saya tidak sabar untuk makan tengah hari bersama dan berjumpa dengan kawan-kawan saya.”

Masafumi Kohara, bapa dua murid di sekolah rendah di wilayah barat Jepun, berkata sekolah merupakan tempat yang dinasihatkan oleh kerajaan untuk dihindari. “Saya tidak tahu mana yang betul,” katanya.

Sebanyak 76 sekolah yang dikendalikan kerajaan wilayah Aomori dibuka semula selepas ditutup sementara pada 20 April.

Di bandar Aomori, kelihatan sebilangan pelajar memakai penutup hidung dan mulut menuju ke sekolah dengan menunggang basikal atau menaiki kereta.

“Saya gembira sekolah dibuka semula kerana saya dapat berjumpa kawan-kawan,” kata Raimu Fujita, 16. – Bernama