MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri hari ini memutuskan sekolah-sekolah di sini akan ditutup sementara selama 14 hari bagi mengekang penyebaran Covid-19.
Menteri Pengangkutan selaku orang bertanggungjawab ke atas JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata keputusan ini akan dikaji semula selepas 14 hari.
“Sesi persekolahan masih diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keputusan ini telah disampaikan kepada Pengarah Pendidikan Sarawak Dr. Norisah Suhaili dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“”Saya secara peribadi telah bercakap dengan Timbalan Ketua Menteri (Uggah) pagi tadi dan beliau menyokong keputusan ini,” katanya.
Justeru, Kim Shin berharap agar Norisah dapat memberi pertimbangan sewajarnya dan menyokong keputusan berkenaan.
Katanya ia memandangkan Miri berada dalam zon merah dan jumlah kes positif meningkat melibatkan pelajar dan guru.