Sekolah dibuka semula

KUCHING: Semua sekolah dibuka hari ini, susulan penurunan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada melebihi 200 sebelum ini khususnya di Kuching, Sri Aman dan Samarahan.

Setakat jam 8 pagi ini, bacaan IPU di Kuching adalah 156, Sri Aman 170 dan Samarahan 140.

Menurut laporan harian bencana jerebu Sarawak, tiada titik panas dikesan di Sarawak setakat ini namun masih terdapat 255 di Kalimantan dan 391 di Sumatera.

Semalam, sebanyak 275 buah sekolah menengah dan sekolah rendah ditutup akibat jerebu.

Jabatan Pendidikan Sarawak menetapkan jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta merta.

Pembukaan semula sekolah adalah bergantung kepada bacaan IPU bawah daripada 200.