Sektor pembinaan terus berjalan dengan langkah kesihatan

KUALA LUMPUR: Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dilaksanakan pada pertengahan bulan lepas sebagai satu langkah untuk mengekang pandemik COVID-19 di negara ini, hanya 11 sektor utama tersenarai sebagai perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi.

Yang lain-lain, termasuk perniagaan dan pembinaan telah diarahkan berhenti pada fasa pertama serta kedua PKP.

Dengan bermulanya fasa ketiga menjelang 14 April lepas, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memutuskan untuk menambah pembukaan operasi membabitkan sektor pembinaan, elektrikal dan kejuruteraan serta kerja-kerja industri dan jentera.

Menurut satu perangkaan daripada kementerian, dengan tiga sektor yang dibenarkan beroperasi, hampir 2 juta pekerjaan akan berjalan dan ini akan meningkatkan ekonomi domestik.

Perspektif Ekuiti

Pasaran ekuiti tempatan telah mula melemah sejak pertengahan Januari lepas apabila COVID-19 mula menyerang China, menyebabkan gangguan rantaian bekalan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, pada hujung Februari; ketika negara sedang menuju ke arah pemulihan, timbul pula serangan wabak virus yang tersebar ke seluruh dunia, menyebabkan kegawatan global dan Malaysia tidak terkecuali.

Dengan dunia dijangka merekodkan penguncupan dalam pertumbuhan pada tahun ini, sektor pembinaan kekal sebagai salah satu sektor yang terus teguh, yang dapat meningkatkan ekonomi tempatan seiring dengan pertambahan perbelanjaan, oleh itu, ia akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan mendorong kuasa membeli.

Daripada perspektif ekuiti, sejak pelaksanaan PKP; mata indeks telah menurun kepada 127.78 berikutan para pelabur belum dapat mengesan hala tuju pasaran serta ketidaktentuan dalam pembukaan semula operasi perniagaan.

Selepas MITI mengumumkan pekerja pembinaan dibenarkan untuk bekerja, indeks saham tersebut naik untuk ditutup pada 160.79, merekodkan keuntungan 46 kaunter dan lapan kerugian dengan 614.74 juta saham bernilai RM166.78 juta diniagakan pada Jumaat lepas.

Nota-nota penyelidikan turut melahirkan keyakinan ke atas unjuran jangka panjang sektor terbabit dengan saham-saham seperti Serba Dinamik, Sunway Construction dan Crest Builder dikategorikan sebagai ‘beli’ dan ‘cemerlang’.

Di antara projek bernilai berbilion ringgit yang sedang berjalan adalah Bandar Malaysia, MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya serta ratusan pembangunan hartanah di seluruh negara.

Dengan penyambungan semula sektor itu, kira-kira 1.3 juta pekerjaan dapat diwujudkan dan berjalan di bawah pengecualian PKP.

Menurut kaji selidik terkini yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan, 11.8 peratus pekerja yang terlibat dalam pembinaan telah kehilangan kerja manakala 9.8 peratus pekerja terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Majoriti mereka adalah B40 dan pekerja asing yang mendapat gaji harian berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.

Persoalannya, wujudkan jaminan keselamatan untuk keadaan ini?

Buruh Asing

MITI dalam satu kenyataan memberitahu syarikat yang disenaraikan di bawah sektor yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

“Kelulusan operasi juga bergantung kepada tahap pematuhan pada syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta agensi penguatkuasaan lain. Ini adalah sejajar dengan janji yang telah dipersetujui oleh syarikat-syarikat terbabit apabila mereka membuat permohonan untuk meneruskan operasi semasa PKP,” katanya.

Walaupun MITI dan syarikat-syarikat berkenaan berasa optimistik untuk menyambung kerja, rakyat Malaysia secara amnya bimbang dengan impak dan kluster baharu yang melibatkan pekerja binaan.

Ini disebabkan, sektor pembinaan mengupah banyak pekerja asing termasuk sebahagian daripada mereka tidak didokumenkan, yang akan menyukarkan usaha mengesan dan rawatan.

Pada 2019, dianggarkan terdapat kira-kira 6 juta pekerja asing di Malaysia, atau 18.6 peratus daripada 32.6 juta penduduk negara ini.

Tenaga kerja asing ini membentuk sebahagian daripada 2.27 juta pekerja yang sah.

Langkah Berjaga-jaga Perlu Diambil

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Malaysia masih belum melihat jangkitan COVID-19 yang ketara ke atas kluster pekerja asing di negara ini.

Beliau menambah kementerian itu sedang bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan, seperti Mercy Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian, bagi memastikan pekerja asing dan pelarian dilindungi di bawah langkah-perkara pencegahan serta kawalan yang dijalankan kerajaan.

Memandangkan kitaran kemelesetan mula menampilkan kesan, ekonomi tempatan perlu meneruskan kelangsungan untuk memastikan bahawa negara boleh menangani cabaran ini.

Bagaimanapun, dalam senario ini; untuk ekonomi terus berstamina, ia perlu memerangi COVID-19 sehingga ke tahap maksimum, sementara menunggu penghasilan vaksin yang dijanjikan.

Walaupun beberapa sektor dibenarkan beroperasi, perniagaan perlu memastikan semua langkah diambil untuk memastikan bahawa keluk jangkitan tidak melonjak sehingga mencipta satu lagi kegawatan kesihatan dan ekonomi yang lebih teruk pada masa akan datang.