KUCHING: Industri penjagaan kesihatan perlu memanfaatkan kemajuan teknologi radiologi teknik pengimejan baharu dalam usaha meningkatkan kualiti penilaian dan mendokumentasi perkembangan sesuatu penyakit.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, antara teknologi tersebut termasuk pengimejan digital, pengimejan 3D, kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin (ML) dan pengimejan hibrid.
“Penggunaan teknologi tersebut dapat meningkatkan hasil rawatan pesakit apabila penyakit dapat dikenal pasti lebih awal, lebih tepat, di samping pemantauan lebih baik terhadap perkembangan penyakit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah pada Majlis Pelancaran Persidangan Asia-Australiasia Ke-24 Ahli Teknologi Radiologi (AACRT) 2023 di sini hari ini.
Sementara itu, Zaliha berkata terdapat keperluan untuk menangani cabaran dan peluang penggunaan AI dalam pengimejan perubatan selain memberikan penekanan besar kepada integrasi bertanggungjawab dan pengawasan manusia.
“Hari ini, teknologi pengimejan perubatan dilengkapi dengan AI dan ML, membawa inovasi menjanjikan kepada penjagaan kesihatan dan mempunyai keupayaan untuk menganalisis imej perubatan dengan tahap ketepatan yang tinggi.
“Algoritma AI boleh menganalisis sejumlah besar imej radiologi dan menyediakan ukuran dan pandangan kuantitatif yang boleh membantu mengesan pelbagai keadaan dan membantu doktor mengenal pasti penyakit dan merawat pesakit dengan lebih berkesan,” katanya.