Trending

Sekuntum mawar merah sebuah puisi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
rose wrapped in red smoke swirl on black background

LANGKAH Marjan terhenti ketika mendengar namanya diseru.

Derianya mengimbas mencari arah suara itu.

Dari ekor matanya dia melihat pelajar lelaki menapak ke arahnya.

Kedua-dua tangannya dikilas ke belakang persis menyembunyikan sesuatu.

Hati Marjan mula berdegup kencang.

Ketika jarak antara mereka kian hampir, lelaki itu menghulurkan sebuah buku nota kepadanya.

Sepantas kilat buku itu dicapai tanpa memandang wajah lelaki itu.

Sejujurnya dia malu.

Ya, rasa malunya sebagai wanita muslimah masih utuh membentengi dirinya.

Apatah lagi apabila berhadapan lelaki ajnabi.

Marjan mempercepat langkah beredar dari situ.

Dia sedikit kesal kerana berjalan sendirian.

Tapi apakan daya, perutnya yang tiba-tiba beronar selesai makan di kantin bersama rakan-rakannya tadi menyebabkan dia terpaksa ke tandas.

Dia mengerling jam di tangan. Waktu rehat hanya bersisa tiga minit lagi.

Kain biru kurung sekolah yang dipakainya diangkat sedikit ketika meniti tangga ke tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Kalau tidak berawas, nanti bakal tersandung tubuh gempalnya di situ.

Setibanya di kelas, dia menjenguk ke dalam.

Ah, nasib baik sempat sebelum cikgu datang!

Dia melangkah masuk menuju tempat duduk.

Beberapa saat dia membetulkan helaan nafas yang masih tercungap-cungap.

“Kenapa dengan awak ni, Marjan.

Termengah-mengah macam dikejar hantu?” sapa Hani dari meja sebelah.

Marjan menoleh ke arahnya. Melemparkan senyuman tanpa sebarang jawapan.

Buku nota Sejarah yang baharu diterima tadi diletakkan di meja.

Semalam, buku itu dipinjamkannya kepada pelajar lelaki kelas sebelah.

Itu pun setelah acapkali didesak.

Akhirnya menggunung juga rasa simpatinya.

Buku nota milik Marjan memang menjadi rebutan rakan-rakan di sekolah kerana tulisannya kemas dan cantik.

Mudah bagi mereka menyalin semula ke buku nota mereka.

Sementara menunggu cikgu masuk, tangannya mula membelek-belek buku nota itu, dengan niat mengulang kaji pelajaran minggu lepas.

“Eh, kertas apa pulak ni?” desis hatinya.

Lantas dia membuka lipatan kertas A4 yang terselit di celah helaian buku itu.

Masya-Allah!

Matanya terpukau dek keindahan lukisan yang terlakar di dada kertas. Lakaran perempuan manis berhijab.

Dan, di tangannya tergenggam sekuntum mawar merah.

Di sudut kanan kertas itu dinukilkan lirik lagu nyanyian kumpulan Alleycats.

Sekuntum mawar merah sebuah puisi untuk gadis pilihan di bulan Februari… Dup dap, dup dap.

Telinga Marjan hampir menangkap degupan jantungnya yang beraksi kencang. Butir-butir peluh merecik membasahi sekujur wajahnya.

Dengan tangan terketar-ketar dia melipat kembali kertas itu.

“Tinggal di asrama nanti, kakak jaga diri baik-baik.

Belajar tu biar betul-betul jangan pula nak melayan perasaan,” pesanan keramat ibu terngiang-ngiang menjamah minda Marjan.

Pesan itulah yang diulang siar ibunya setiap kali menghantar Marjan ke asrama.

Marjan hadam maksud ibu. Ibu tidak mahu dia terjebak dengan cinta monyet di usia begini.

Cinta fatamorgana yang tidak membawanya ke mana-mana. Silap hari bulan impiannya untuk ke menara gading juga turut tersadai.

Marjan menarik nafas dalam dan menghembuskannya perlahan-lahan.

Sejurus dia bangun dan melangkah keluar kelas. Kertas A4 dalam genggaman dikoyak menjadi perca halus, lalu dibuang ke dalam tong sampah.

“Ya Allah, ya Hafi z. Lindungilah aku daripada kejahatan hawa nafsu, jin dan juga manusia.” Februari pun berlalu.

Meninggalkan kenangan sekuntum mawar merah, sebuah puisi; terkulai layu sebelum berkembang.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

SANGGAR PUISI

SARAH ROSS4 November 2023Bukit Katil. Maafkan Untuk Ingatan  Yang Sering

HUJAN JATUH KE PASIR

Karya: AMERSARAWAKSADONG JAYA. “Salam… semua. Ada tak sesiapa yang ada

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru