KUALA LUMPUR: Blake, anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mati selepas menghidap barah limfoma.
Blake yang bertugas di unit Anjing Pengesan (K9) ketika itu terlibat dengan pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali dan mencari mangsa lemas.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Facebook rasminya memaklumkan Blake menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu sempat mengikuti raptai sempena sambutan hari kebangsaan yang lalu.
“Selepas disahkan menghidap barah, Blake sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, UPM pada 14 September apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan.
“Sepanjang berada di wad Blake gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang diberikan oleh pihak veterinar, malah barah limfoma yang dikesan pada anjing itu juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar,” katanya.