ARTIKEL

Selamat jalan sahabatku

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIAPAKAH yang dapat menduga bahawa dua rakan karib akan pergi untuk selamalamanya dalam tempoh dua minggu?

Itulah yang berlaku kepada saya.

Manusia tidak akan dapat menjangkakan apa-apa yang akan berlaku kepada dirinya, temannya atau anggota keluarganya pada masa depan, apatah lagi dari segi kematian.

Semua itu menjadi rahsia Allah SWT.

Pada 27 April lalu, saya kehilangan seorang sahabat baik, Datuk Abdul Ajis Abdul Majeed pada usia 73 tahun.

Pada Jumaat lepas, 10 Mei pula, saya kehilangan seorang lagi sahabat rapat.

Saya betul-betul terpukul dengan pemergian keduaduanya selang 14 hari. 

Pada Jumaat lalu, sebaik sahaja keluar dari masjid selepas solat Jumaat, saya menerima berita daripada seorang sahabat bahawa Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi.

 Beliau meninggal disebabkan masalah komplikasi jantung, sama seperti yang dialami oleh Allahyarham Abdul Ajis.

Sebenarnya, ketika menerima berita bahawa beliau jatuh sakit kerana serangan jantung beberapa hari lalu, saya begitu risau dengan keadaan mendiang.

Ternyata kebimbangan saya itu perlu saya hadapi. Realiti sukar saya terima.

Dan ketika menerima berita pemergiannya, saya begitu terpukul. 

Kali terakhir saya bertemu dengan Datuk Mutang ialah ketika rakaman program bual bicara Dialog TVS pada 27 April lalu.

Ketika pertemuan itu, beliau seperti biasa begitu mesra dan mengongsikan pengalamannya di jawatan baharu itu

. Beliau juga mendedahkan kisahkisah menarik menjelang pelantikan itu, termasuk bagaimana beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak TVS dan berbicara dengan santai, pegawai TVS dan saya pun menghantar beliau ke kereta rasminya.

Itulah kali terakhir saya bersua muka dengan beliau.

Beliau memberitahu saya bahawa dalam waktu terdekat beliau akan ke ke Ba’Kelalan, tempat kelahirannya pada 1954 untuk merasmikan Pesta Beras Adan.

Dalam ucapannya pada majlis perasmian itu pada 19 April, mendiang menyuarakan harapan dan aspirasinya terhadap perkembangan Pesta Beras Adan serta komuniti petani di Ba’Kelalan.

Pada 27 April lalu, saya sampaikan berita tentang pemergian Datuk Ajis yang juga kenalan rapat mendiang.

Kami pernah sama-sama berkunjung ke rumah Datuk Ajis pada 2018. Beliau menzahirkan kesedihannya melalui mesej WhatsAppnya.

Pada hari beliau berlepas ke Azerbaijan, sebelum menaiki pesawat, beliau sempat menelefon saya

. Kami sempat berbual selama sekitar tiga minit, dan saya ucapkan selamat jalan kepada sahabat baik saya itu. 

Beliau kedengaran begitu teruja dengan lawatan rasmi itu.

Saya tidak menyangka itulah perbualan terakhir saya dengan bekas Ahli Parlimen Bukit Mas sealama dua penggal itu (1982-1990).

Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 Februari lalu. 

Pelantikan itu menjadikan Mutang yang berasal dari Lawas, mengukir sejarah tersendiri.

Beliau pemimpin pertama etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang diPertua Dewan Negara.

Mutang menggantikan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.

Sebagai seorang teman, sudah tentu saya begitu gembira dengan pelantikan itu.

Hakikatnya, beliau sendiri tidak menjangka sama sekali bahawa beliau akan dilantik ke jawatan penting itu, yang dari segi protokol adalah begitu kanan. 

Mendiang menceritakan bagaimana ketika itu, beliau sedang menikmati sarapan bersama-sama tiga lagi rakan Dewan Perniagaan sebelum berjumpa dengan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada sebelah petangnya.

Jarum jam menunjukkan hampir jam 9.00 pagi apabila beliau menerima panggilan telefon daripada pembantu kanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pegawai kanan berkenaan memberitahu bahawa Anwar mahu bercakap dengan beliau.

Beliau tergamam. Selepas itu, beliau pun berjumpa dengan Perdana Menteri. 

“Perdana Menteri agak terkejut apabila saya memberitahu bahawa saya bersama-sama dengan beliau memasuki parlimen pada 1982,” jelas beliau kepada saya.

Mutang menjadi ahli parlimen mewakili Bukit Mas selepas memenangi kawasan itu tanpa bertanding atas tiket PBB pada tahun berkenaan ketika berusia 27 tahun.

Beliau memenangi kerusi berkenaan sekali lagi pada 1986 dengan majoriti 5,863 selepas menumpaskan calon Bebas.

Difahamkan Perdana Menteri mengemukakan nama Mutang, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara.

Anwar difahamkan mengadakan perbincangan dengan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkaitan tokoh yang bakal menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berundur disebabkan akan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Ini adalah satu pelantikan bersejarah dan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam mengiktiraf dan memastikan suara, pandangan dan perwakilan daripada semua kalangan rakyat, termasuk Orang Ulu di parlimen.

“Beliau ialah seorang pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal.

Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas,” katanya.

Pada mesyuarat khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Majlis Dewan Negara, 19 Februari lalu, beliau menyifatkan perundangan sebagai bidang yang sentiasa dekat di hatinya. 

“Maka pengalaman dan pengetahuan saya sebagai pengamal undangundang akan saya gunakan sebaiknya bagi terus memperkasa dan memartabatkan lagi kedudukan Dewan Negara dan Parlimen Malaysia sebagai badan legislatif di Malaysia seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mutang mengakui bahawa beliau amat terkejut atas pelantikan itu.

Namun, beliau menganggap ia merupakan suatu penghormatan tertinggi kepada Orang Ulu dan masyarakat Dayak di Sarawak.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Premier atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap beliau. 

Mengenali Datuk Mutang, saya amat yakin bahawa beliau mampu memikul amanah itu dengan cemerlang.

Dalam tempoh sekitar 80 hari berada di jawatan itu, pelbagai tokoh ternama telah mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau, malah beberapa pemimpin luar juga telah mengundang beliau untuk mengunjungi negara mereka.

Saya dapati beliau begitu teruja dan seronok dengan jawatan baharu yang dijawatnya itu.

Sebagai seorang sahabat, saya tentunya turut menumpang keterujaan dan kegembiraannya.

Mutang yang memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Curtin University ialah seorang pengamal undang-undang dan aktif dalam perniagaan.

Beliau menjawat beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Timbalan Presiden Persatuan Perniagaan Sarawak, serta Konsul Kehormat Romania untuk Sarawak.

Beliau juga merupakan Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden, Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

Persahabatan saya dengan mendiang sebenarnya boleh dikatakan belum begitu lama.

Kami hanya mulai menjalinkan persahabatan pada 2017, tetapi bagai ada keserasian, hubungan persahabatan kami cepat mesra dan rapat.

Beliau malah menganggap saya sebagai adiknya, dan memanggil saya “brother” atau “Prof” sebagai tanda persahabatan dan penghormatan, manakala saya memanggil beliau

“Bro Datuk”. 

Meskipun persahabatan kami hanya untuk tempoh tujuh tahun lebih, saya berasa seolah-olah persahabatan kami telah terjalin puluhan tahun lamanya.

Saya begitu menyenangi perwatakan dan personalitinya. 

Kata-katanya sentiasa lembut dan beliau sentiasa memberi galakan, sambil ketawa ketika berbicara apabila ada sesuatu yang menjentik perasaannya.

Dalam pertemuan dengan saya, kami sering berbicara tentang isu-isu semasa, terutamanya politik, ekonomi dan perniagaan.

Kami sering berkomunikasi melalui WhatsApp atau telefon

. Beliau sentiasa menghargai usaha saya untuk menampilkan beliau melalui TVS dan dua akhbar yang saya terajui.

Saya pernah menemu bual beliau melalui program bicarawara TVS “2030”. 

Melalui program itu, saya bertanya beliau tentang pengalamannya dalam politik, ahli perniagaan dan tokoh yang menerajui beberapa dewan perniagaan.

 Bagi saya, mendiang seorang yang selalu menghargai jasa kecil yang kita lakukan. 

Yang jelas, bagi saya, Datuk Mutang seorang yang kuat membaca ialah insan yang tidak pernah memfitnah dan bercakap buruk tentang orang lain.

Beliau sentiasa begitu menginspirasi serta memberi motivasi, selain begitu bermurah hati.  

Mengikut seorang pegawai beliau, “Datuk Mutang ialah seorang yang who works the talk.

Maksudnya, melakukan apa-apa yang dikatakan, dan bukannya omong kosong.

Ya, dari segi janji pula, sebagai sahabat, saya boleh katakan beliau sentiasa berusaha untuk menunaikan janjijanjinya.

Saya perlu menyatakan di sini, sebelum saya menunaikan haji pada tahun lepas, beliau secara tiba-tiba muncul di pejabat saya, sambil menghulurkan sampul surat.

Katanya, “sebagai belanja di Makkah” sambil beliau mendoakan agar saya mendapat haji mabrur. 

Yang pasti, hampir setiap kali beliau ke Kuching dari Miri, beliau pasti akan memaklumkan kepada saya. Mendiang akan cuba sedaya upaya untuk berjumpa dengan saya.

Saya fikir, beliau telah ke pejabat kami di Metro City sekurangkurangnya tujuh kali.

Setiap kali berada di Kuching, beliau akan mengajak saya untuk makan tengah hari atau makan malam. 

Sesungguhnya, saya kehilangan seorang sahabat yang begitu baik hati dan baik budi.

Panggilan telefon terakhir sebelum beliau berlepas ke Azerbaijan dan detik-detik terakhir ketika kami berpisah pada 11 April lalu di pejabat TVS, sebelum beliau memasuki kereta, serta budi baik beliau, pasti akan kekal abadi dalam ingatan saya.

Sahabatku, YB Senator Datuk Mutang Tagal, semoga kau tenang di sana.

Terima kasih sahabat setiaku atas segala kebaikanmu terhadapku selama ini.

Dato Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.