ARTIKEL

Selamat tinggal, perempuan berambut putih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

CLAYTON ROBERT bertugas Sebagai Pembantu Penguat Kuasa di Majlis Daerah Serian di Serian, Sarawak. Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Pelita Bahasa, Tunas Cipta, Utusan Borneo (Sarawak), Utusan Sarawak, Utusan Malaysia, Sinar Hariandan Suara Sarawak. Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah sastera termasuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2019), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2019) dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak (2019, 2022). Di samping itu, beliau pernah mendapat hadiah sagu hati untuk Sayembara Penulisan Cerpen Kearifan Tempatan Sarawak 2023 dan mendapat tempat ketiga untuk Sayembara Cerpen Berteraskan Nilai Seni Budaya Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran IPG Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak.Dua novel karya beliau ialah Cinta Langgi, Penerbitan Ilham Pesona, 2017 dan Dayung Kumang, UUM Press Kreatif, 2018.Clayton Robert pernah menjadi ahli panel Forum Arah Tuju Sastera Sarawak 2018 anjuran DBPCS dengan tema Mengangkat Karya Sastera Penulis Pelbagai Kaum di Sarawak.

SAYA sedang memasak bunga tepus bersama belacan di dapur kayu rumah.

Semerbak bau belacan mengitari sekeliling dapur.

Sesekali saya memeriksa api supaya tidak terlalu panas sehingga menyebabkan masakan hangus.

Penggunaan dapur kayu perlu berhatihati supaya api tidak begitu marak apatah lagi apabila menggunakan buluh.

Saya menguis kedua-dua belah kaki dek kerana terasa gatal akibat gigitan nyamuk.

Pagi begini, nyamuk masih ligat keluar mencari darah.

Kucing beberapa kali menggosokkan tubuhnya di kaki saya sambil mengiau.

Barang kali mahu meminta sesuatu untuk dimakan.

Belacan Bintulu Pak Ibrahim itu saya penyek sehingga hancur bersama hirisan bawang putih dan merah yang keperangan di dalam minyak masak jenama Seri Murni yang menggelegak panas.

Daripada sebakul besar bunga tepus yang telah dibersihkan dan dicuci hingga menjadi semangkuk sahaja kerana bunga tepus layu apabila dimasak tetapi warna asli bunga tepus adalah berwarna merah membentuk lidah bergulung dengan tepian berwarna kuning.

Bunga tepus itu saya peroleh daripada kebun.

Sekarang, musim di mana bunga tepus mekar dengan begitu banyak menghiasi lantai hutan.

Sejujurnya, saya sangat menggemari bunga tepus masak belacan dek kerana aromanya yang wangi dan unik sebagai penaik selera makan.

Apatah lagi sekiranya dimakan bersama dengan nasi panas dan ikan kembung masin goreng.

Nikmat kelazatan dan keenakannya tidak terkata apabila bercampur gaul di dalam mulut sehingga berapa kali menambah nasi ke dalam pinggan.

Saya berasa puas hati kerana akhirnya dapat juga menikmati hidangan makan pagi lauk bunga tepus masak belacan dan ikan kembung masin goreng.

Walaupun hidangan masakan terlihat tidak mewah tetapi sudah cukup menjentik dan membangkitkan selera makan.

Setelah hidangan sudah siap dimasak, saya mengambil pinggan dan mencedok hidangan bunga tepus masak belacan.

Tanpa membuang masa, saya ingin segera menjamahnya.

Bungkusan nasi daun lerek saya buka dan terus menikmati makan pagi.

Bunga tepus masak belacan dan ikan kembung masin goreng bergaul mesra di dalam mulut ditambah dengan aroma wangi daun lerek.

Nyah kau dari sini!

Pergi dari sini!

Suara itu bergema dengan cukup kuat sekali sehingga saya mahu tersedak.

Saya terkejut dengan pekikan suara itu.

Berulang kali suara teriakan itu berkumandang.

Saya berhenti makan kerana ingin mengetahui apa yang sedang berlaku di luar rumah.

Saya terus menapak ke sinki untuk mencuci tangan yang berbalut nasi dan bau belacan.

Kemudian, saya melangkah pantas menuju pintu rumah yang masih berkunci.

Dengan tangkas, saya membuka kunci pintu rumah dan segera menguak daun pintu dengan kasar.

Saya menjenguk keluar.

Mata saya melilau ke kanan dan kiri.

Sepasang mata saya menangkap kelibat orang ramai yang berbondong bondong keluar daripada anjung rumah panjang ke tanah sambil diiringi dengan teriakan pengusiran yang bergema kencang.

Saya curiga mengenai apa yang sedang berlaku di rumah panjang ini.

Lekas saya menapak keluar menuju segerombolan manusia yang berpusu-pusu keluar dari rumah panjang.

Awal pagi sudah berlaku sesuatu keriuhan dan kekecohan.

Mereka memanggil penduduk-penduduk rumah panjang yang lain untuk turut serta tetapi tidak saya.

Saya mengekori belakang penduduk-penduduk rumah panjang dengan rapat sekali.

Saya melihat tanpa mengira usia tua dan muda turut sama menyertai keriuhan itu.

Yang remaja seperti biasa tidak mahu berpisah dengan peranti pintar masing-masing.

Ada yang berjalan laju tetapi mata memandang skrin telefon pintar. Jika tersandung batu pasti terjatuh.

Jangan sahaja insiden yang berlaku ini akan menggangu kelancaran program lawatan Yang Berhormat ke rumah panjang ini esok hari.

Sepatutnya hari ini berlangsung raptai penuh.

Semalam Ketua Kaum memaklumkan bahawa sesi raptai penuh diadakan pada pagi hari ini.

Tolonggg! Kasihani saya! Suara itu bergema dari arah depan.

Walaupun dikerumuni oleh lautan manusia, suara itu berjaya menerjah ke telinga saya.

Saya tersentak mendengar suara yang berkumandang itu.

Sepertinya saya kenal pemilik suara itu.

Kalau tidak salah saya, itu suara kawan baik saya.

Saya mempercepat langkah walaupun dibatasi faktor usia.

Saya tidak mengira apa yang akan terjadi kepada diri saya.

Saya mahu tahu siapa yang memekik itu.

Saya berusaha menerjah masuk ke dalam kerumunan manusia.

Meminta supaya saya diberikan laluan.

Malangnya, tiada siapa yang mengendahkan sebaliknya saya ditolak-tolak supaya tidak maju ke hadapan.

Halang dia! Dia kawan baik orang itu.

Jangan bagi dia peluang.

Pekik salah seorang daripada penduduk rumah panjang yang berambut panjang dan berbadan gempal kepada saya.

Dia perempuan seperti saya.

Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Penduduk-penduduk rumah panjang yang lain memandang ke arah dengan pandangan yang jelik sekali.

Saya tidak mempedulikan.

Saya ingin mencari tahu siapa yang mereka usir itu.

Kenapa perlu dilakukan hal sedemikian?

Apa sebabnya mereka melakukan pengusiran?

Apa salah dia?

Dengan sekuat tenaga yang ada di dalam diri dan dibaluti dengan hubungan persahabatan yang kuat, saya merempuh sekumpulan pendudukpenduduk rumah panjang yang pada saya sudah hilang akal itu.

Mereka juga berusaha untuk menghalang langkah kaki saya untuk maju ke depan.

Akhirnya, saya berjaya menembusi benteng-benteng manusia yang sengaja dibuat untuk menghalang saya maju ke depan.

Sebaik sahaja saya tiba di depan kerumunan penduduk-penduduk rumah panjang, alangkah terkejutnya saya melihat sosok orang yang memekik itu sebenarnya ialah kawan baik saya sendiri.

Ruparupanya, kawan baik saya sendiri yang diusir oleh penduduk-penduduk rumah panjang.

Tergamak mereka melakukan perbuatan kejam begitu. Sudah hilang akal barangkali mereka semua.

Kamu semua sudah gila!

Teriak saya dengan sekeras-kerasnya.

Saya mahu membela kawan baik saya itu.

Sepenuh tenaga saya melontarkan laungan suara.

Saya terus merangkul tubuh kawan baik saya dengan erat sekali.

Kawan baik saya menangis teresak-esak.

Mengenang nasib dilayan dengan teruk sekali.

Diusir keluar dari rumah panjang.

Saya melihat tangan kawan baik saya itu lebam dan membiru.

Mungkin akibat diseret dan ditarik dengan kasar.

Saya membetulkan kedudukan rambut putih panjangnya yang menutupi wajah.

Mengalir air matanya menuruni cerun pipi yang berkedut-kedut. Usir dia dari sini!

Suara garau itu membentak kami berdua dan disusuli pula dengan momokan dan teriakan yang sama daripada penduduk-penduduk rumah panjang lainnya.

Saya membangunkan kawan baik saya yang tersembam menyembah bumi akibat ditolak tadi.

Tapak tangannya luka hingga mengalir darah merah akibat daripada tindakan keji penduduk-penduduk rumah panjang.

Saya menapak beberapa langkah mendepani penduduk-penduduk rumah panjang yang diselimuti rasa marah.

Kawan baik saya bersembunyi di belakang badan saya.

Dia menggigil ketakutan.

Usia senja sudah tidak berpihak kepada dirinya untuk mempertahankan diri.

Sepatutnya yang muda melindungi yang tua.

Tetapi, kini yang muda tidak hormat dan hilang adab sopan kepada orang tua lebih-lebih lagi wanita.

Saya berteriak kepada mereka bahawa kawan baik saya itu tidak layak diperlakukan sedemikian rupa.

Tidak patut diusir keluar.

Dia berhak tinggal di rumah panjang.

Penduduk-penduduk rumah panjang tidak berhak mengusir dia keluar.

Saya mengharapkan agar Ketua Kaum menyebelahi kami berdua.

Malangnya, Ketua Kaum menyokong tindakan anakanak buahnya.

Malahan, saya diberikan pilihan.

Sama ada menyokong tindakan mereka mengusir kawan baik saya itu ataupun turut keluar daripada rumah panjang bersama kawan baik saya.

Oleh itu, saya mengajukan pertanyaan kepada pendudukpenduduk rumah panjang, kenapa kawan baik saya itu mahu diusir?

Apa kesalahan yang dia telah lakukan. Ketua Kaum mendakwa bahawa kawan baik saya itu lantang mempersoalkan ketiadaan birayun di dalam atur cara program lawatan Yang Berhormat.

Atas alasan apa birayun tidak disenaraikan di dalam atur cara program itu.

Tidak mungkin terlupa untuk memasukkan elemen berkenaan ke dalam senarai ataupun berbuat lupa.

Kawan baik saya dikatakan bising-bising, marah dan melakukan keriuhan semasa sesi raptai dilakukan.

Tindakan sedemikian akan mencacatkan proses persediaan untuk lawatan tersebut esok hari.

Dia enggan menerima pembaharuan. Kawan baik saya mahu yang sepatutnya dilaksanakan.

Penduduk-penduduk rumah panjang bersetuju dengan kata-kata Ketua Kaum.

Mereka terus menyambung teriakan supaya kawan baik saya meninggalkan rumah panjang.

Mereka semua berkeras supaya perempuan berambut putih itu meninggalkan rumah panjang dengan segera.

Perempuan tua sebegitu dilayan dengan teruk sekali.

Apa sudah jadi dengan generasi sekarang?

Saya menuntun kawan baik saya untuk kembali ke rumah panjang.

Saya ingin merawat luka-lukanya.

Membalut kesan lebam di tangan dia dengan daun sirumuh supaya cepat sembuh.

Belum sempat kami berdua menapak, penduduk-penduduk rumah panjang dengan pantas menghalang pergerakan kami berdua.

Mereka mengerumuni kami.

Kami berdua dikelilingi seperti orang bersalah.

Pergi dari sini atau kami bertindak ganas! Penduduk-penduduk rumah panjang memberikan amaran keras kali ini.

Mata mereka membelalak besar.

Mereka tidak teragak-agak untuk mencederakan kami berdua sekiranya masih berdegil untuk tidak meninggalkan rumah panjang. Hei, perempuan tua!

Daripada menyibukkan diri dengan apa yang kami lakukan lebih baik duduk rumah dan tidur.

Kata salah seorang daripada penduduk rumah panjang yang berambut kerinting.

Kedengaran ketawa yang terbahak-bahak. Mereka semua benar-benar sudah lupa dengan jasa yang kawan baik aku ini telah lakukan.

Kawan baik saya yang telah menaikkan nama rumah panjang ini sehingga dikenali ramai orang.

Benar-benar seperti kacang lupakan kulit.

Tergamak sungguh mereka semua.

Baiklah, kami akan pergi dari sini ucap saya dengan nada suara lemah.

Berteriak pun sudah tiada guna.

Bila hati sudah hitam.

Saya memimpin kawan baik saya berjalan perlahan-lahan.

Kakinya terhencot-hencot menahan kesakitan.

Hanya gara-gara bersuara lantang menentang kejahilan demi kebaikan, kawan baik saya diusir keluar dari rumah panjang.

Saya membuat keputusan untuk keluar dari rumah panjang ini bersama kawan baik saya.

Apabila pendudukpenduduk rumah panjang melihat kami berjalan lemah menuju ke jalan besar.

Mereka membuka laluan kepada kami.

Sememangnya itu yang mereka mahukan.

Beberapa orang anak-anak muda sedang sibuk merakam kejadian yang berlaku.

Mereka tersengih-sengih melihat peristiwa berkenaan.

Sudah pasti kami berdua dijadikan bahan untuk dimuat naik di media sosial masingmasing untuk meraih pengikut dan jumlah tontonan.

Kawan baik yang bernama Budaya.

Mari kita ke muzium bersama-sama. Itu rumah baharu kita.

Nampaknya, penduduk-penduduk rumah panjang ini sudah tidak menginginkan kita lagi.

Kita tidak layak untuk terus hidup dengan pendukungpendukung teori modenisasi itu.

Mereka menganggap kita ini ancaman buruk untuk mereka.

Mereka menganggap kita sudah ketinggalan zaman dan tua.

Kita hanya sebagai objek tatapan orang ramai di muzium.

Objek sejarah semata-mata.

Bukan lagi sesuatu yang diperlukan untuk tinggal di dalam kelompok mereka.

Mereka mungkin lupa apa yang diperkatakan oleh Ibnu Khaldun di dalam buku Mukadimah tentang faktorfaktor yang membawa kepada kemajuan dan kehancuran sesebuah tamadun bangsa.

Pada tahun 1977 sehingga 1978 dahulu, kawan baik saya telah mendapat tawaran daripada William Robert Geddes untuk diambil video birayun untuk dimasukkan ke dalam sebuah fi lem dokumentari berjudul The Soul of The Rice.

Filem dokumentari ini diproduksi di New York, Amerika Syarikat dan dipertontonkan kepada dunia.

Siapa tidak kenal kepada William Robert Geddes, seorang ahli antropologi yang terkenal.

Kebolehan dan kepandaian kawan saya mengalunkan birayun membuatkan pengarah fi lem dokumentari itu berminat untuk mengambil dia terlibat sama di dalam pembikinan fi lem dokumentari itu.

Saya masih ingat lagi.

Betapa gembiranya kawan saya mendapat khabar bahawa dirinya terpilih.

Penduduk-penduduk rumah panjang kala itu meraikan kejayaan itu dengan meriah sekali.

Memang padan mereka berdua itu tinggalkan rumah panjang ini.

Seorang bernama Budaya.

Seorang lagi bernama Tradisi. Selamat tinggal, perempuan berambut putih.

Kata penduduk-penduduk rumah panjang sambil menapak pulang ke rumah panjang tanpa rasa bersalah.

BERITA LAIN

Selamat Hari Pekerja, Kaki dan Tangan

SHIELD SAHRAN berasal dari Kuching, Sarawak. Melibatkan diri dengan penulisan cerpen dan seterusnya sajak dan novel. Mula menceburkan diri dalam penulisan di akhbar tempatan pada

Isteri aku, namanya Diam

JONG CHIAN LAI AKU, punyai tujuh perasaan dan satu akal. Kerana tujuh perasaan itu, aku menjadi gadis gelandangan. Yang merayau di tepi jalan beralaskan selipar

Matinya presiden kami!

Seluruh jelata Asmaraloka dikejutkan dengan khabar liar yang berhembus sejak semalam itu. Semacam tidak percaya, rasanya baru seminggu lepas presiden mereka itu mendapat tepukan dan

Nukilan Effa Raifana

EFFA RAIFANA. Nama sebenar beliau ialah Nur Raifana Abdullah @ Deborra Michael. Kelahiran daerah Dalat, Sarawak. Berkhidmat di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. Bergiat aktif

Kilau Ramadan

Saat siang datang mewarnai kelaparan Betapa kemiskinan kian tumbuh di ladang Kilau ramadan menyamar lentik kehampaan Haus dan lapar mendayung saling menghayati setelah siang menuntut

BERITA TERBARU

28 pasukan beradu nasib hujung minggu ini

KUCHING: Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Novis anjuran Akademi Takraw Satok (ATAS) 2024 akan berlangsung gelanggang Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok/SLPAS, Kuching pada Sabtu dan Ahad

Usahawan dibantu melalui pembiayaan perniagaan

BINTULU: Kerajaan MADANI sentiasa komited membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memulakan perniagaan, mengembang dan mempertahankan daya saing dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.