Selamat tinggal tahun yang mencabar

HARI ini genap, 366 hari kita berada dalam kalender tahun 2020.

Sebuah tahun yang telah mengubah, 360 darjah cara kehidupan manusia di muka bumi ini.

Tidak kira sama ada di negara paling maju dan kaya, mahupun negara membangun dan miskin, kesemuanya terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sejak penularan awal di Wuhan, China pada penghujung tahun lepas, kini kita menyaksikan lebih 79.9 juta penduduk dunia telah dijangkiti Covid-19.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1.76 juta kes kematian dicatatkan di seluruh dunia.

Jumlah tersebut dijangkakan terus bertambah dari semasa ke semasa, termasuk pada awal tahun baharu 2021.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana, sehingga ke hari 289 kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), belum ada seorang pun daripada rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin Pfizer.

Ironinya, sebuah negara kecil seperti Malaysia merekodkan jumlah kumulatif kes jangkitan melebihi 100 ribu orang.

Jika dibandingkan dengan China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk, kes kumulatif di Malaysia lebih tinggi.

Sehingga ke hari terakhir dalam tahun 2020, jumlah jangkitan harian di Malaysia masih berada dalam angka yang mengerikan.

Hanya beberapa buah negeri seperti Perlis dan Sarawak, yang dilihat berupaya mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

Sehubungan itu, kehadiran tahun baharu 2021, diharap dapat membawa sinar baharu dalam kehidupan manusia.

Hal ini disebabkan, kehidupan norma baharu bukan sahaja menyekat pergerakan kita, malah turut memberi impak yang cukup besar kepada ekonomi dunia.

Antara sektor yang paling terkesan pada tahun ini adalah pelancongan, penerbangan dan perhotelan.

Ketiga-tiga sektor ini menyaksikan penyusutan yang amat ketara, sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

Dalam sektor penerbangan, ramai juruterbang dan krew diberhentikan serta terpaksa mencari pekerjaan lain untuk meneruskan kehidupan.

Pun begitu, sikap mereka yang berani berubah dan bersedia mengadaptasi cara hidup baharu, wajar dicontohi.

Sehubungan itu, bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan serta mendapat gaji penuh pada setiap bulan, hargailah pekerjaan yang telah diamanahkan.

Laksanakan semua tugas dengan ikhlas dan cemerlang, agar keberadaan kita tidak menjadi liabiliti kepada organisasi.

Selain sektor ekonomi, sistem pendidikan turut terkesan akibat penutupan sekolah dan universiti.

Ketidaksediaan guru, murid dan ibu bapa dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian secara menyeluruh, memberi impak kepada kemenjadian murid.

Lebih menyedihkan, kehadiran Covid-19 telah menyebabkan pembatalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pembatalan ini pastinya memberi kesan emosi dan psikologi kepada pelajar, yang telah melakukan persiapan seawal tahap dua bagi UPSR dan menengah rendah bagi PT3.

Selain daripada itu, pandemik Covid-19 turut menjejaskan aktiviti yang dianjurkan sempena Kuala Lumpur World Book Capital 2020.

Beberapa acara besar seperti Pesta Buku Kuala Lumpur yang saban tahun diadakan, terpaksa beralih ke platform dalam talian.

Ketika banyak sektor terjejas akibat Covid-19, ada rahmat kepada sektor kesihatan negara.

Sepanjang tahun ini, sebanyak RM1.17 bilion termasuk peruntukan sedia ada Kementerian Kesihatan (KKM), sudah dibelanjakan bagi menangani pandemik Covid-19 dalam tempoh Mac hingga 31 Oktober lalu.

Pada tahun 2021, KKM bakal menerima peruntukan sebanyak RM31.9 bilion merangkumi semua aspek kesihatan termasuk Covid19.

Peruntukan besar ini dijangkakan dapat meningkatkan fasiliti kesihatan di negara ini, setelah ancaman Covid-19 berjaya dikurangkan.

Walaupun begitu, perjuangan yang terlalu panjang dalam menentang Covid-19, tentunya memberi impak kesihatan dan emosi kepada petugas barisan hadapan.

Sehubungan itu, langkah kawalan kendiri amat penting, bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

Dalam bidang politik, tahun 2020 menyaksikan keruntuhan Pakatan Harapan yang hanya bertahan selama 22 bulan.

Pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac 2020, telah meranapkan impian Malaysia baharu, serta perjuangan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain perubahan politik di peringkat pusat, Perikatan Nasional turut merampas beberapa buah negeri yang sebelum ini diperintah oleh Pakatan Harapan.

Suara-suara marhaen yang membantah pada awal pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, kini mula tidak kedengaran lagi.

Di sisi yang lain, cubaan untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui undi tidak percaya di parlimen turut gagal.

Malah, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dijangka kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2023.

Berpandukan senario semasa, jelas tidak banyak yang dapat kita lakukan pada tahun 2020.

Tambahan pula, kita hanya mempunyai 76 hari pada tahun ini sebelum perlaksanaan PKP pada 18 Mac yang lepas.

Secara keseluruhan, tahun 2020 bukan tahun untuk kita mendapatkan apa yang kita inginkan.

Tahun ini adalah satu tempoh untuk kita bermuhasabah dan menghargai apa yang kita ada.

Sebagai tahun yang penuh cabaran, jadikan tahun 2020 sebagai pedoman dan pengajaran.

Semoga tahun baharu yang bakal tiba, membawa harapan baharu yang lebih baik dalam kehidupan kita. Selamat Tahun Baharu 2021!

• Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.

Suara Sarawak