Selamatkan pelajar kita

BETONG: Kerajaan wajar menilai cadangan mengharamkan beberapa aplikasi atau laman maya yang mendorong wujudnya aktiviti tidak bermoral termasuk khidmat pelacuran dalam talian dan sebagainya.

Baru-baru ini sebuah syarikat aplikasi yang mempertemukan sugar daddy dan sugar baby mendakwa, sebanyak kirakira 14,000 penuntut universiti di Malaysia menawarkan diri sebagai sugar baby.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook Darren Chan seperti dipetik Kamarul Zaman Yusoff seorang penganalisis politik dan pensyarah menulis, bilangan tersebut semakin meningkat disebabkan kesukaran hidup mereka sejak pandemik Covid-19.

Malah katanya, pada Januari lalu bilangan penuntut universiti di Malaysia yang menjadi sugar baby meningkat sebanyak 40 peratus.

Beliau turut mendedahkan 10 universiti di Malaysia yang penuntutnya paling ramai menjadi sugar baby. Suara Sarawak yang menghubungi NGO Islam, Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (Lakis) turut menyatakan rasa terkejut dengan pendedahan tersebut.

Pengerusinya Dr Abang Ismail Abang Julhi memberitahu, saluran yang mewujudkan sugar daddy dan sugar baby harus dihapuskan. “Saya terkejut membaca artikel tersebut. Jika benar ada 14,000 anak-anak di universiti yang terlibat, perkara ini amat berbahaya dan harus disiasat, ditangani tanpa prejudis.

“Bagi Lakis, jalan penyelesaian yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan menghapuskan laman maya Sugarbook dan yang seumpamanya seperti aplikasi yang menawarkan perkhidmatan janji temu,” katanya.

Beliau bimbang jika saluran itu masih ada, ia akan menguasai media sosial negara. “Saya menggesa kita bersamasama tampil merayu kerajaan agar tindakan tegas dalam membendung gejala tidak sihat itu diambil.

“Ini demi menyelamatkan generasi masa depan. Kita harap mereka bebas daripada segala bentuk maksiat yang menghancurkan masa depan,” ujarnya.

Abang Ismail menggesa anak muda agar terus menjaga kehormatan diri. “Bergelar penuntut universiti, mereka sepatutnya dapat membezakan amalan baik dan buruk.

“Jagalah kehormatan diri dan jangan termakan pujuk rayu mereka yang tidak bertanggungjawab semata-mata hendak memuaskan hawa nafsu. “Ingat, belajar bersungguhsungguh dengan apa-apa cara yang sesuai ketika pandemik Covid-19 ini… jangan menghampakan harapan orang tua yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kita dalam menggapai segulung ijazah,” jelasnya.