Selari keperluan Sarawak

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi keutamaan pengambilan guru secara sekali kepada rakyat Sarawak. Ketua Penerangan Pas Sarawak Zharudin Narudin berkata, ini akan selari dengan keperluan penduduk tempatan dan penting untuk sistem pendidikan Sarawak terus berkembang pada masa akan datang.

Menurutnya, pengambilan dalam kalangan rakyat Sarawak ini akan mengatasi masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh beberapa sekolah di negeri ini. “Sebagai sebuah negeri yang terkesan dalam masalah kekurangan guru, langkah ini dilihat sebagai satu langkah yang amat baik dan amat ditunggu oleh Pas Sarawak.

“Mei lalu, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah mengambil maklum akan keadaan tersebut dengan memberitahu Sarawak memerlukan 3,000 guru. “Pas berharap pengambilan ini akan mengisi kekurangan yang dihadapi oleh beberapa sekolah di Sarawak buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Zhairudin menambah, setelah lama berkhidmat di negeri ini, majoriti guru dari Semenanjung Malaysia memilih untuk kembali ke negeri masing-masing dan menyebabkan kekosongan tempat bagi guru berpengalaman. “Dalam jangka masa panjang, ia memberi kesan kepada prestasi sekolah kerana banyak guru berpengalaman meninggalkan negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa siswazah di Sarawak memohon selepas pengambilan dibuka pada 7 Julai depan. Jelasnya lagi, dengan adanya pengambilan itu, ia akan mengurangkan bebanan guru sedia ada yang perlu bekerja lebih waktu khususnya di daerah yang mempunyai kemasukan pelajar terbanyak seperti Bintulu, iaitu kekurangan guru dalam sesebuah sekolah boleh melebihi 20 orang.

“Kita risau sekiranya pengambilan tidak dilakukan dengan segera, guru yang sedia ada akan berasa tertekan. “Bukan itu sahaja, bagi pendidikan Sarawak, Pas berasakan ini akan memberi harapan baru untuk mengurangkan jurang pelajar di bandar dan kawasan pedalaman.

“Masalah kekurangan guru memberi impak kepada pelajar dan prestasi sekolah selama ini,” ujarnya. Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan KPM akan melaksanakan pengambilan khas 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru.

Suara Sarawak