Selawat dan doa iringi pacak tiang masjid baharu Daro

DARO: Selawat dan bacaan doa mengiringi acara simbolik memacak tiang cerucuk konkrit pertama masjid daerah Daro, hari ini sekaligus menjadi detik bersejarah yang bakal mengakhiri penantian masyarakat Islam di kawasan itu.

Program penting dan penuh makna yang bermula pada jam 10.00 pagi itu disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad.

Acara dipimpin Ketua Kampung Badong, Haslimi Hassan bermula dengan bacaan al Fatihah, kemudiannya disusuli berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Majlis diserikan dengan bacaan doa yang diketuai Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) Daro, Azizan Ajiji. Hadir sama, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Mukah, Awang Yusshamry Awang Yusof,
Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli, kakitangan kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.

Sehubungan itu, Safiee berkata, kemudahan yang bernilai kira-kira RM9.5 juta tersebut dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Usaha membina masjid itu katanya, membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat di samping memastikan mereka beribadah dalam keadaan lebih selamat dan selasa.

“Sehubungan itu, saya berharap penduduk berganding bahu dan memberi kerjasama supaya pembinaan masjid ini berjalan lancar dan tidak banyak masalah.

“Apabila siap kelak masjid ini akan menjadi salah satu lagi ikon pembangunan daerah ini,” katanya kepada wartawan.

Beliau menjelaskan, struktur pembinaan masjid itu juga dibuat secara khusus selain menyediakan pelbagai kemudahan kepada umat Islam untuk melaksanakan aktiviti yang bermanfaat untuk pembangunan ummah.

“Masjid ini merupakan salah satu masjid mempunyai rekabentuk yang cukup menarik. Saya percaya apabila siap sepenuhnya kelak, ia bakal menjadi salah satu lagi kebanggaan penduduk Daro.

“Permohonan ke atas masjid ini diajukan saya kepada Ketua Menteri ketika beliau menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri peringkat daerah Daro pada 16 Julai 2017 dan kita amat bersyukur, impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya.

Acara bersejarah ini turut dihadiri pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Suara Sarawak