Selesai isu KWSP

LAPAN juta pencarum bakal mendapat manfaat daripada Akuan 1 KWSP setelah Belanjawan 2021 diluluskan secara dasar pada Sidang Dewan Rakyat semalam.

Di bawah program i-Sinar, ia kini dibuka kepada semua pencarum dengan jumlah pengeluaran maksimum sebanyak RM10,000.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 mengumumkan had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Lebih menarik pencarum aktif dan tidak, selagi wang itu ada dalam akaun satu, juga boleh memohon.

Kelihatannya kerajaan mendengar keluhan rakyat, masalah rakyat yang terjejas susulan Covid-19, yang hilang pendapatan dan golongan B40 yang benar-benar memerlukan.

Untuk rekod, semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, kerajaan meluluskan i-Sinar yang akan membolehkan Akaun 1 KWSP dikeluarkan namun malangnya ia tidak menyeluruh kerana hanya melibatkan dua juta pencarum sahaja ditambah pula dengan syarat yang sukar.

Di tengah-tengah kemarahan dan kegentingan mendesak rakyat, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi jurubicara rakyat dengan mendesak kerajaan dan KWSP menilai semula keputusan sebelum ini. Setiap perkongsian Najib dalam Facebook dan ciapan di Twitternya sentiasa mendapat ribuan perkongsian dan komen yang mengangkat beliau sebagai wira.

Keputusan itu perlu diubah dan semalam buktinya – kuasa rakyat mengatasi segalanya. Namun mengubah keputusan yang dibuat sebelum ini menuntut jiwa yang besar.

Mengubah keputusan yang tidak disukai rakyat bukanlah tanda kelemahan kerajaan, sebaliknya ia lambang kepimpinan yang cakna dengan keperluan rakyat.

Kesusahan orang ramai yang tidak mempunyai tunai di tangan adalah realiti hari ini dan keperluan mengeluarkan wang KWSP merupakan impian besar lapan juta pencarum di negara ini.

Kerajaan yakin bahawa pendekatan yang dibuat untuk mengimbangi keperluan ini. KWSP sendiri memberi jaminan bahawa usaha akan diteruskan untuk memenuhi mandat kepada ahlinya seperti mengukuhkan jaringan perlindungan sosial melalui pelaburan dan pembangunan secara lebih strategik.

Bukan sahaja isu KWSP yang menghantui rakyat sejak kebelakangan ini namun isu moratorium yang dilihat perlu dibuka kepada semua peminjam seperti sebelum ini.

Namun rakyat masih bersyukur kerana kerajaan membenar moratorium secara automatik untuk golongan yang terjejas tanpa perlu menyertakan pemohonan atau sebarang dokumentasi.

Sebabnya masih ramai pihak yang terjejas akibat Covid19 terutama sektor pelancongan, pembuatan, makanan dan minuman serta sektor lain yang sangat memerlukan bantuan kewangan dalam waktu sukar itu.

Kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada golonganpetani, penternak, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) termasuk usahawan persendirian yang kita percaya antara kumpulan yang terjejas teruk.

Kemaslahatan rakyat sangat mendesak dan belanjawan yang diluluskan semalam merupakan intervensi yang sa-ngat dinanti-nantikan walaupun beberapa isu masih dituntut, namun sekurang-kurangnya kerajaan mendengar suara hati rakyat.