Trending

Selesai isu rampasan sarang burung dengan baik

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SIBU: Kerajaan Sarawak akan membantu memudahkan prosedur permohonan bagi permit peniaga sarang burung dan pemulangan barang rampasan bernilai RM3 juta.

Perkara ini dimaklumkan oleh ADUN Dudong Datuk Seri Tiong King Sing selepas beliau mengetuai sekumpulan rombongan peniaga sarang burung dari Sibu untuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada Selasa lepas di Kuching.

Tujuannya untuk membincangkan penyelesaian bagi masalah rampasan sarang burung bernilai RM3 juta oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Sibu.

“Selepas memahami isu itu, Abu Bakar berikrar akan berkoordinasi dengan agensi berkaitan untuk membantu peniaga sarang burung dan pengusaha tidak berlesen melengkapkan proses permohonan permit bagi memastikan semua sarang burung dijual mengikut peraturan garis panduan.

“Selain memastikan keselamatan kepada pengguna, langkah ini juga bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan para peniaga.

“Apabila permohonan peniaga diluluskan, kami menjangkakan rampasan seperti di Sibu, yang menyaksikan bekalan sarang burung bernilai RM3 juta dirampas, dapat dielakkan selain mengelak lebih banyak kerugian yang tidak perlu daripada berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Tiong, yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, pengusaha penternakan burung walit memberikan maklum balas dan aduan bahawa proses mendapatkan permit bagi rumah sarang burung daripada agensi berkaitan mengambil masa yang lama.

PRIHATIN… TIONG (tengah) ketika mengetuai sekumpulan rombongan peniaga sarang burung dari Sibu bertemu dengan Abu Bakar.

Oleh yang demikian, tegasnya, ramai peniaga berkenaan di Sarawak beroperasi tanpa permit.

“Kami memerlukan pihak berkuasa untuk melihat serta mengkaji semula proses permohonan tersebut bagi memudahkan dan menyelaraskannya sekali gus memendekkan masa kelulusan,” tegas Ahli Parlimen Bintulu itu.

Tiong memaklumkan pihak peniaga akan berbincang bagi menyelesaikan kes rampasan bekalan sarang burung berkenaan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan agensi penguatkuasaan lain yang terlibat.

Beliau turut menggesa agar sarang burung yang dirampas itu dapat disimpan dan dijaga dengan baik dan rapi oleh pihak terbabit serta mempercepatkan prosedur permohonan untuk memulangkan semula rampasan itu kepada peniaga untuk mengelakkan kerugian selanjutnya.

“Saya juga berikrar akan memantau perkara ini sehingga ia berjaya dimuktamadkan dan berharap isu sebegini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” jelasnya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru