Selesaikan efektif isu warganegara Sarawak

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan pihaknya menubuhkan pasukan petugas khas di peringkat ibu pejabat bagi menyelesaikan semua perkara berkaitan kewarganegaraan termasuk untuk Sarawak.

Muhyiddin berkata, dengan ini KDN membubarkan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak di bawah artikel 15A Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan 23 Ogos 2016.

Sebelum ini Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim melalui surat bertarikh 22 Julai memaklumkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sarawak tidak diteruskan.

Betapapun, langkah KDN ini biarlah menjadi keputusan Persekutuan. Namun, yang mungkin membuat Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah terkilan ialah kenyataan semberono yang dibuat oleh Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen.

Chieng Jen sebelum ini berkata, Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak perlu dihentikan kerana prestasinya kurang memuaskan. Chieng Jen mendakwa masalah kewarganegaraan masih berlarutan di Sarawak dan beliau bersetuju Kerajaan Persekutuan baharu di Putrajaya mengendalikannya.

Fatimah menyelar Chieng Jen menganggapnya tidak tahu apa-apa yang dicakapkannya berhubung proses yang dilakukan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak sebelum ini.

Fatimah memperjelas bahawa Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak yang ditubuh pada 2016 adalah bertujuan menangani prestasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini yang dikatakan tidak memuaskan.

Menurut Fatimah sebelum 2016, pemohon kewarganegaraan hanya mengetahui status mereka selepas lima tahun kemudian, berbanding selepas jawatankuasa berkenaan ditubuhkan, status permohonan dapat diketahui dalam tempoh satu hingga dua tahun sahaja.

Bahkan, Fatimah berkata jawatankuasa terbabit turut berjaya membawa semula permohonan yang tiada sebarang berita status borang mereka sebelumnya untuk diluluskan pihak Menteri Dalam Negeri.

Sejak jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah seliaan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi, laporan menunjukkan 127 daripada 723 pemohon berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri. Sementara ekoran keputusan KDN itu, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian menyifatkan ia sebagai perbuatan diskriminasi dan berunsur ‘pemusatan kuasa’ oleh Kerajaan Persekutuan.

SUPP masih memohon Kerajaan Persekutuan memberi kuasa kepada Sarawak memproses permohonan kewarganegaraan dalam kalangan rakyatnya kerana Putrajaya dikatakan tidak mempunyai pengetahuan luas berkaitan Sarawak.

Isu status dan pengiktirafan kewarganegaraan sememangnya isu penting khususnya membabitkan taraf kewarganegaraan kanak-kanak. Dokumen bagi warganegara khususnya untuk kanak-kanak berkait rapat dengan masa depannya.

Dokumen berkaitan memudahkan urusan pendidikan asas termasuk memberi manfaat untuk kesihatan dan perubatan sebagaimana layak dinikmati seorang bertaraf warganegara.

Semua menunggu, melihat dan berharap pengurusan baharu isu kewarganegaraan di bawah Persekutuan mencapai kejayaannya lebih cemerlang memenuhi “dendangan” Chieng Jen.

Suara Sarawak