Selesaikan masalah bekalan air

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Lembaga Air Sibu (LAS) sangat prihatin dengan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di Pulau Bruit, Mukah.

JBALB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai projek sejak 2019 bagi memastikan semua penduduk di kawasan berkenaan mempunyai infrastruktur bekalan air bersih yang lebih baik.

“Isu bekalan air yang selama ini membelenggu penduduk di kawasan Pulau Bruit dapat diselesaikan apabila projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) siap kelak.

Menurutnya, antara projek yang sedang dijalankan ialah Projek Bekalan Air Akut, Projek Cadangan Pengambilan Air Sungai Langsung 20MLD untuk Bekalan Air Tanjung Manis, Program Bekalan Grid Air, Naik Taraf Kawasan Bekalan Air ke Kawasan Tanjung Manis.

Semua projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. “Bagi penyelesaian jangka pendek projek Bekalan Air Akut kini dalam fasa akhir pembinaan Loji Rawatan Air Semop dan dijangka beroperasi pada Mei 2021.

“Loji ini akan menyalurkan air tambahan ke aras atas tinggi Saai melalui saluran paip baharu bekalan air ke kawasan Pulau Bruit. “Projek tersebut merupakan penyelesaian intervensi sementara menunggu projek jangka masa panjang untuk disiapkan,” kata kenyataan tersebut.

Bagi penyelesaian jangka sederhana pula, terdapat tiga projek yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah program rakyat iaitu Cadangan Pengambilan Air Sungai Langsung 20MLD untuk Bekalan Air Tanjung Manis yang dianggarkan RM17 juta dijangka siap suku ketiga tahun ini.

Projek yang kedua pula ialah Program Grid Bekalan Air Sarawak yang menekankan naik taraf kawasan Bekalan Air ke Tanjung Manis, Jerijeh, Belawai, Sekumang, Rejang, Serdeng Pakej 1 – saluran paip yang dicadangkan dari Baji ke Sekumang termasuk saluran paip dasar laut dan kerja-kerja berkaitan dianggarkan bernilai RM50.3 juta dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2021.

Projek ketiga pula Program Grid Bekalan Air Sarawak – Kawasan Cadangan Bekalan Air ke Pulau Bruit Bahagian Mukah dianggarkan bernilai RM64.4 juta dijangka siap pada suku kedua 2022.

“Setelah projek-projek ini siap kelak, ia akan memberi manfaat yang besar kepada penduduk di sekitar Pulau Bruit yang merangkumi 13 kampung iaitu Kampung Bruit, Kampung Tekajong, Kampung Salah Kecil, Kampung Penipah, Kampung Semop, Kampung Saai, Kampung Kut, Kampung Sebako, Kampung Sedi/Mesir, Kampung Betanak, Kampung Penibong, Kampung Penuai dan RH Juing dengan penyaluran air secara berterusan,” ujarnya.

Pihak JBALB turut menyediakan Pusat Pengumpulan Air Berpusat di kawasan strategik dan kritikal di Pulau Bruit bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih sementara menunggu projekprojek yang sedang dalam pembinaan siap sepenuhnya nanti. “JBALB Sarawak amat komited memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan berdasarkan kepada piawaian dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya.

Suara Sarawak