Selesaikan projek terbengkalai

SELANGAU: Kerajaan Sarawak telah membantu menyelesaikan isu projek Skim Elektrik Luar Bandar (RES) yang terbengkalai di kawasan Jalan Kua/Ulu Mukah di daerah ini.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Datuk Liwan Lagang berkata, projek terbangkalai itu yang sebelum ini di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini diambil alih dan diteruskan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan projek penyambungan elektrik ini dengan anggaran kos RM17 juta untuk 13 rumah panjang bermula pada Januari 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pemasangan dan Pembekalan RES di Selangau Riverine di Rumah Sawong Baling, Sungai Wong Atas Ulu Mukah di sini pada Ahad.

Liwan yang juga Adun Belaga memberitahu, projek tersebut di bawah Projek Elektrik Luar Bandar bagi kawasan Jalan Kua/Ulu Mukah.

Projek itu jelasnya, bakal memberikan manfaat kepada 346 isi rumah dari 13 rumah panjang di kawasan tersebut. Menurutnya lagi, projek tersebut yang sudah dalam proses tender merupakan projek yang amat ditunggu-tunggu oleh penduduk di kawasan tersebut lebih-lebih lagi projek itu pernah terbengkalai walaupun tiang elektrik sudah didirikan.

Liwan memberitahu, disebaban projek itu terbengkalai, Kerajaan Sarawak membuat keputusan untuk mengambil alih dan melaksakan projek itu dan melantik Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai agensi pelaksana.

“Projek ini merangkumi kerja pemasangan kabel sepanjang lebih 60 kilometer untuk menghubungkan semua rumah panjang terlibat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sesi dialog bersama-sama penduduk terlibat akan diadakan sebelum projek bermula dan selepas projek siap.

Dialog itu katanya, diadakan untuk memberikan penerangan kepada penduduk mengenai perincian projek, skim pendawaian di dalam rumah dan mengelakkan sebarang isu berbangkit semasa projek dilaksanakan.

Sementara itu, Adun Tamin Christopher Gira Sambang turut menggesa rakyat di kawasan tersebut memberikan kerjasama kepada kontraktor yang dilantik untuk memasang dan menyelia projek ini agar pelaksanaan projek berjalan lancar.

Dalam majlis tersebut beliau turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar bandar (MRP) sebanyak RM211,000 kepada 26 penerima, cek bantuan Pendidikan Yayasan Teras kepada tiga penerima dan penyerahan warta tanah Seksyen 6 kawasan Ulu Mukah/Selangau kepada 26 rumah panjang.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM34,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rumah Sawong manakala bantuan RM5,000 untuk Biro Wanita Rumah Sawong dan RM3,000 kepada belia Rumah Sawong.

Sementara Liwan menyumbangkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Sawong. Pemanca Mathew Ganggang, turut hadir