Selesaikan tuntutan Sarawak, Petronas

KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sarawak terhadap Petronas seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun baru setahun memegang jawatan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ekoran itu Sarawak sekarang bukan sahaja mendapat bahagian tetapi menjadi rakan kongsi kepada Petronas dalam membangunkan industri gas dan minyak di negeri ini.

“Kalau kita ingat, di Sarawak banyak kali sudah tuntutan ini, tetapi di bawah Perdana Menteri ini (Muhyiddin), belum sampai setahun beliau dapat menyelesaikan isu berhubung kait tuntutan Sarawak dengan Petronas,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Kenyataan Fadillah itu dipercayai merujuk kepada rundingan urusan minyak dan gas serta Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum di Sarawak yang disepakati keduadua pihak pada tahun lalu.

Pada Mei 2020, Muhyiddin mengumumkan persetujuan Sarawak dan Petronas menyelesaikan hal itu tanpa tindakan mahkamah dan mereka menggugurkan tindakan undangundang yang diambil pada Ogos tahun lalu.

Pada 7 Disember 2020, Sarawak dan Petronas menandatangani Perjanjian Penyelesaian Komersial setelah kedua-dua pihak mencapai persetujuan ke atas terma-terma yang ditetapkan.

Perjanjian itu turut memastikan Sarawak terlibat sama dalam operasi Petronas melalui anak syarikatnya. Sarawak pada September tahun lalu dilaporkan menerima pembayaran penuh SST sebanyak 5 peratus produk petroleum negeri bagi 2019 daripada Petronas.

Suara Sarawak