KUCHING: Padah cuba seludup masuk 0.4 gram dadah dengan meletakkan dalam pelapik kasut ketika ditahan di Penjara Puncak Borneo, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini,
Majistret Zaiton menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Khalid Ali, 37,selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapannya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah terlarang itu di pintu utama pemeriksaan Penjara Puncak Borneo, kira-kira jam 12.19 tengah hari, 4 November lalu.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, bertempat di pintu utama penjara, pengadu telah bersama anggota penjara yang lain membuat pemeriksaan terhadap tertuduh.
Hasil pemeriksaan, menemui artikel larangan berupa satu tiub straw berwarna kuning mengandungi serbuk kristal disyaki dadah disembunyikan dalam pelapik kasut tertuduh.
Semasa dalam tempoh siasatan, barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan mengesahkan bahan terbabit adalah dadah jenis Methamphetamine seberat 0.4 gram.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.