Seludup dadah menerusi WhatApp

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan terlibat dalam penjualan dadah melalui aplikasi atas talian (WhatsApp) dicekup berhampiran sebuah rumah Lorong Nenas Barat, semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, DSP Tumar Lunya berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditangkap oleh sepasukan anggota JSJN Ibu Pejabat Kontinjen Kuching sekitar jam 4.20 petang.

Menurutnya, pemeriksaan awal pada anggota badan suspek bagaimanapun tidak menjumpai sebarang kesalahan dadah sebelum kegiatan tersebut terbongkar hasil pemeriksaan pada telefon bimbit miliknya.

“Pemeriksaan terhadap aplikasi WhatsApp di telefon bimbit suspek menunjukkan satu maklumat transaksi urusan pembelian dadah secara atas talian dilakukan.

“Susulan daripada maklumat tersebut, pasukan kita telah pergi ke sebuah lokasi di tepi sebuah bangunan Jalan Rock pada jam 5.50 petang dan menjumpai sepeket plastik berisi dadah syabu seberat 5.30 gram,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek kini telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kesemua barangan kes (dadah) yang bernilai RM795.00 itu telah disita dan dibawa ke pejabat JSJND IPK Sarawak bagi tindakan lanjut.

Ekoran itu, hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Dedahnya, suspek pernah terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 sebanyak tiga kali hasil semakan rekod kesalahan lampau.

Tegas beliau, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan disebat tidak melebihi sembilan kali.

Dalam pada itu, Tumar turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah serta mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai bagi membendung gejala terbabit daripada berleluasa.

Suara Sarawak