Seludup ikan patin dan ikan tapah bernilai RM10,000

LUBOK ANTU: Dua lelaki warga tempatan ditangkap selepas didapati cuba menyeludup ikan tapah dan ikan patin dianggarkan bernilai RM10,000 menerusi jalan gajah di sempadan Malaysia-Indonesia berhampiran Jalan Enswang, di sini, hari ini.

Kegiatan terbabit dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak ketika membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang datang dari arah sempadan Indonesia ke Malaysia sekitar jam 6.30 pagi.

Jurucakap PGA menerusi satu kenyataan mengesahkan tangkapan itu dilakukan hasil rondaan Op Benteng Covid-19 di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan anggota rondaan terhadap kenderaan terbabit mendapati terdapat lapan guni berisi ikan tapah dan ikan patin, dianggarkan bernilai RM10,000.

“Pasukan operasi bertindak merampas kesemua barangan tersebut beserta kenderaan dianggarkan bernilai RM50,000,” kata.

Tambahnya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lubok Antu untuk tindakan siasatan lanjut.

Terdahulu operasi tangkapan dianggotai oleh sepasukan Batalion 10 PGA Sibu, Sarawak.

RAMPAS… Antara bungkusan ikan tapah dan ikan patin yang ditemui hasil pemeriksaan pasukan keselamatan

Suara Sarawak