Seluruh rakyat nantikan perkembangan PKP

Sebentar sahaja lagi, jam 3 petang ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sudah pasti, pengumuman ini paling dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana, semua ingin mengetahui sama ada PKP ditamatkan atau dilanjutkan.

Atau mungkin juga digantikan semi PKPB di kawasan berisiko tinggi, seperti menurut Kementerian Kesihatan Malaysia dalam hantaran Facebook.

Dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu, PKP telah menjejaskan bukan sahaja kehidupan setiap kita tetapi juga melumpuhkan ekonomi negara.

Ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan demi menyelamatkan nyawa rakyat daripada penularan wabak membunuh, Covid-19.

Pengorbanan ini nyata berbaloi apabila negara kini berjaya dan sudah mulai selamat daripada pandemik ini walaupun masih berlaku kes jangkitan, namun kadar yang sedikit dan terkawal di seluruh negara.

Begitu juga di Sarawak, apabila kes positif berkurangan dan ada kalanya sifar, termasuk kes Individu Dalam Siasatan (PUI) yang minima berbanding sebelum ini.

Apapun keputusan diumumkan Perdana Menteri nanti, adalah amat penting untuk kita terus berjuang menghapuskan Covid-19.

Walaupun sudah bebas daripada penularan misalnya, virus ini akan terus membayangi kita selagi vaksin belum terhasil.

Oleh itu, sama-samalah kita jaga kita dan terus memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan sosial.