Semai integriti melalui penulisan esei

KUCHING: Unit Integriti dan Obusman, Jabatan Ketua Menteri (Union) dengan kerjasama Persatuan Penulis Sarawak (Penulis) menganjurkan Pertandingan Mengarang Integriti 2019.

Pertandingan Mengarang Integriti 2019 merupakan kesinambungan kepada Pertandingan Mengarang dan Penciptaan Video Pendek 2018 yang masing-masingnya dianjurkan oleh Union dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) dan Perbadanan Filem Nasional (Finas).

Menteri Muda Jabatan Ketua Menteri, Integriti dan Obudsman, Datuk Talib Zulpilip berkata, tema pertandingan mengarang pada tahun ini ialah Sarawak Maju Berintegriti Tinggi Pada Tahun 2030.

Katanya, keseimbangan, kemajuan dan integriti melambangkan digniti yang diperlukan dan dihormati.

Jelas Talib, penyertaan pertandingan mengarang ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak dan berumur 12 tahun ke atas.

Penyertaan dibuka kepada dua kategori iaitu kategori umum dan pelajar sekolah.

Tambahnya, terdapat lima pertandingan boleh disertai iaitu pertandingan mengarang puisi, pertandingan mengarang cerpen Bahasa Melayu dan Iban dan pertandingan mengarang esei bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Tujuan pertandingan ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya golongan muda mengenai isu rasuah dan integriti.

“Ia juga menyuntik, menyemai dan menanam semangat nilai-nilai murni integriti dalan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Bangunan Baitul Makmut, Petrajaya semalam.

Selain itu, Talib berkata, Union dan Penulis juga mengadakan pertandingan mengarang esei integriti terbuka kepada pelajar sekolah rendah tahap satu dan tahap enam.

Jelasnya lagi, ia merupakan pendedahan awal kepada murid sekolah mengenai hal integriti dan ombudsman.

Talib menambah, mereka telah menetapkan dua kategori iaitu murid tahun satu hingga tiga akan diberikan pilihan tajuk dan menulis 100 patah perkataan sahaja manakala murid tahun empat hingga enam juga diberikan pilihan tajuk dan menulis 300 patah perkataan sahaja.

Beliau turut menambah, Union serta penulis bersetuju menyediakan hadiah khusus iaitu hadiah penyertaan terbanyak kepada pihak sekolah rendah atau sekolah menengah.

“Pertandingan bermula pada 1 Jun dan akan berakhir pada 30 November tahun ini.

“Diharapkan ibu bapa juga mengalakkan anak-anak mereka untuk menyertai pertandingan ini,” ujarnya.

Suara Sarawak