Semangat segulai sejalai di Betong

BETONG: Generasi muda bangsa Dayak harus mempelajari, memelihara seterusnya memastikan budaya sambutan perayaan Gawai Dayak yang dianggap sebagai satu warisan tidak akan hilang ditelan zaman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong yang diadakan saban tahun bertujuan menunjukkan kepada generasi baharu hari ini tentang keistimewaan budaya yang harus dipertahankan.

“Kita ingin memastikan generasi baharu mengenali budaya masyarakat Dayak. Kita harap generasi ini akan mempelajari, memelihara dan menghargainya sebagai salah satu warisan penting di negara ini,” katanya.

“Melalui cara berpakaiannya, tariannya… inilah budaya yang kita banggakan dan mahu semua itu diteruskan oleh generasi masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Adun Bukit Saban berkata demikian ketika merasmikan Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2019 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, semalam.

Uggah menyifatkan penganjuran program perarakan seumpama ini sebagai sesuatu aktivitiyang amat bagus untuk membugarkan lagi budaya masyarakat Dayak serta semangat perpaduan kaum.

“Hari ini kita menunjukkan kepada Malaysia bahawa budaya bangsa Dayak sebagai sebahagian daripada budaya yang menarik di negara ini.

“Kita mempamerkan kecantikan dan keunikannya selain aspek kepelbagaian budaya yang turut ditonjolkan. Di Betong, perarakan bukan sahaja disertai masyarakat Dayak, tetapi pelbagai kaum turut serta,” ujarnya.

Beliau menagih semangat ‘Segulai Sejalai’ yang menjadi tema sambutan supaya terus dapat dikekalkan dalam memastikan pembangunan kekal berjalan.

Terdahulu Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, perpaduan antara kaum di Bahagian Betong menjadi kekuatan utama.

“Saban tahun kita lihat, ribuan masyarakat berkumpul mengikuti perarakan bukan sahaja mereka yang berbangsa Dayak. Tetapi ada Melayu, Cina serta etnik yang lain.

“Saya mengharapkan dengan kekuatan ini akan membawa Betong ke satu peringkat yang lebih tinggi suatu hari kelak,” jelasnya.

Perarakan tahun ini dimenangi SMK St Augustine sebagai johan keseluruhan, melayakkannya pulang dengan hadiah RM13,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil.

Suara Sarawak