KUCHING: Sempena 60 tahun sambutan Sarawak merdeka, pelbagai acara berskala besar bakal dianjurkan di seluruh pelusuk negeri bermula hujung Mei sehingga Ogos tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan perayaan yang bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ itu bakal diwarnai dengan sembilan acara gilang-gemilang.

“Antara acara bakal diadakan adalah konvoi Kembara Sarawak Merdeka, pameran digital Sarawak 60 tahun dan Majlis Kesyukuran Perdana.
“Selain itu, turut diadakan perhimpunan dan perarakan, penyampaian medal peringatan, majlis jamuan negeri, konsert rakyat dan persembahan bunga api, perarakan kapal berhias serta perarakan jalanan,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Bertanggungjawab berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Logo, Lagu, Laman Sesawang dan Kalendar sempena Sambutan Perayaan 60 tahun Sarawak Merdeka di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
“Lebih menarik, acara konvoi Kembara Sarawak Merdeka yang bermula 28 Mei hingga 22 Julai ini, dari Bahagian Limbang ke Kuching bakal disertai oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Premier akan menyertai konvoi fasa kedua pada 10 Jun dari Miri ke Bintulu. Konvoi itu akan mengembara ke setiap bahagian di seluruh negeri dengan membawa bendera Sarawak,” ujarnya.
Menurutnya, selain memberi peluang kepada seluruh rakyat Sarawak merasai kemeriahan sambutan dan makna di sebalik sambutan, ia juga merupakan wadah untuk menyampaikan inisiatif-inisiatif kerajaan melalui penganjuran pelbagai program yang bakal diadakan.
“Hari Sarawak merupakan salah satu acara tonggak utama Kerajaan Sarawak yang diadakan pada 22 Julai setiap tahun bermula pada tahun 2016 sehingga sekarang.
“Justeru, rakyat kita harus melihat tarikh 22 Julai sebagai platform terbaik dalam menyemai semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” tambahnya.