Sembilan individu diiktiraf sebagai Hero Bomba

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak memberikan Sijil Hero Bomba kepada sembilan individu bagi menghargai jasa mereka menyelamatkan sekeluarga daripada maut dalam kemalangan baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada sekumpulan penghantar makanan dan orang awam, yang sanggup terjun ke dalam parit besar bagi menyelamatkan sebuah keluarga yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Camar, Petra Jaya pada malam Sabtu lalu.

Sijil tersebut diserahkan oleh Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman dalam majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Bomba Sarawak di sini hari ini.

“Tindakan pantas Hero Bomba pada kali ini telah dapat mengelakkan perkara yang lebih buruk terjadi apabila bergandingan mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam parit sedalam tujuh kaki yang dipenuhi air.

“Syabas dan tahniah kita ucapkan. Semoga komitmen dan nilai tanggungjawap seumpama ini dapat berterusan demi menjamin keselamatan masyarakat,” kata Khirudin.

Dalam kejadian pada 17 Julai lalu, individu-individu terbabit telah berjaya menyelamatkan empat sekeluarga setelah kereta dinaiki mereka terbabas dan terbalik di dalam parit sedalam tujuh kaki yang dipenuhi air.

Tanpa kehadiran dan bantuan mereka, mungkin perkara lebih buruk berlaku kepada empat mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak terbabit.

Suara Sarawak