ARTIKEL

Sembilan nama menggelegak di Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEKURANG-KURANGNYA sembilan nama dinaikkan dalam bursa politik di Bintulu ketika ini.

Mereka cukup “hangat” untuk dinamakan sebagai calon berpotensi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N67 Jepak.

Nama-nama ini mula dikumandangkan sejak seminggu lalu selepas kematian penyandang kerusi, Datuk Talib Zulpilip.

Seperti yang ditegaskan oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, calon yang dipilih akan mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Justeru ia membuka pintu harapan kepada banyak pihak yang berminat.

Dalam mana-mana pilihan raya, kepimpinan parti akan melihat individu yang “berpotensi menang” sebagai keutamaan.

Justeru proses lobi kini sebenarnya sudah bermula.

Pada masa yang sama, latar belakang “nama yang dilobi” akan diselidiki dan dipastikan memiliki rekod yang bersih dan disukai ramai.

Selepas tapisan Polis Di Raja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tentu sekali caloncalon akhir tersebut adalah kalangan mereka yang dilihat mampu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Dan untuk itu, track record bakalbakal calon memiliki markah yang tinggi.

Dalam konteks pemilihan Datuk Talib pada 1996, beliau ialah tokoh muda yang berwibawa ketika itu dan telah menaiki pentas pentadbiran awam negeri dengan begitu pantas sekali.

Sesuai dengan kewujudan DUN Jepak sebagai “kerusi baharu” ketika itu, Talib dengan rekod anak tempatan yang berjaya telah memenangi kerusi tersebut dengan mudah.

Beliau mengutip 5,892 undi untuk mengetepikan dua calon Bebas; Awang Abdillah Awang Nassar dan Dick Winie, yang sekadar membawa pulang 605 dan 179 undi masing-masing.

Kini saingan kembali terbuka dan tentunya, tumpuan akan diberikan kepada calon-calon dari dalaman cawangan parti terlebih dahulu.

Jika dilihat secara objektif, dari segi hierarki, tentunya peluang terbuka luas kepada Datuk Awang Daud Pengeran Awang Putera, seorang usahawan yang terkemuka, yang juga Timbalan Ketua Cawangan parti tersebut.

Tetapi menurut sumber parti, yang dimaklumkan oleh Datuk Talib sendiri kepada cawangan tersebut ketika Konvensyen PBB yang lalu, Awang Daud telah digantung daripada Timbalan Ketua Cawangan (bukan keahlian) selama dua tahun kerana melakukan kempen yang tidak sah, dalam pemilihan parti.

Justeru adakah status ini akan menyekat kedudukan beliau untuk menjadi calon berpotensi?

Hakikatnya, ramai dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut amat menghormati beliau sebagai seorang tokoh yang cukup baik hati dan dermawan, selain membantu rakyat tanpa mengira kedudukan dan status mereka.

Ketika artikel ini ditulis, beberapa nama lain turut disebut oleh penduduk Jepak.

Antaranya, bekas Timbalan Ketua Cawangan PBB Jepak, Saidi Abang Samsuddin dan bekas ahli jawatankuasa Pemuda PBB di DUN Jepak, Mohamad Shahruddin Zaidil yang kini bertugas di Jabatan Tenaga Manusia di Kuching.

Seorang lagi tokoh yang cukup popular di DUN Jepak ialah Ketua Penerangan parti tersebut, Othman Mat, 52.

Othman merupakan tokoh berpengaruh kerana menjadi penyelaras kepada banyak aktiviti Talib selama enam penggal beliau mewakili DUN tersebut.

Othman, bekas Presiden Persatuan Petanque Sarawak dilihat sebagai penggerak di sebalik tabir, dan mendapat kepercayaan Talib untuk menjalankan aktiviti politik dan aktiviti lain di kawasan, termasuk berbincang dan berunding dengan agensi kerajaan, berkait apa-apa sahaja projek.

Bahkan Othman diberi kepercayaan untuk mengendalikan kawasankawasan hitam sewaktu kempen pilihan raya sebelum ini, dan ia terbukti telah memberi hasil yang lumayan kepada Talib ketika itu.

Justeru, nama beliau amat dikenali, malah disenangi oleh banyak pihak, apatah lagi dengan sikapnya yang berterus terang dalam banyak perkara, termasuk dalam menasihati Talib sendiri.

Selain Othman, satu lagi nama yang agak sinonim dengan Talib ialah Kairulnieza Waynie, 50. Kairul yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Pertanian Sibu merupakan pemegang Diploma Perikanan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Menetap di Kampung Assyakirin Fasa II, Kairul sering dirujuk sebagai aktivis kebajikan memandangkan beliau merupakan Pengerusi Skuad PBB di kawasan DUN N67 Jepak — yang merujuk Skuad Prihatin Berkhidmat Berbakti.

Dengan dana yang disumbangkan Talib, beliau dan pasukan menggerakkannya untuk membantu golongan yang memerlukan, tanpa mengira status, kaum, agama dan ideologi parti.

Bekas Penolong Bendahari Cawangan ini merupakan Mantan Pengerusi Badan Warisan Sejarah Dan Kebudayaan Vaie Bintulu, mantan Setiausaha Saberkas Cawangan Jepak dan Pengerusi Pengerusi Biro Kebajikan Islam, Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu.

Satu lagi nama besar yang dikaitkan sebagai calon berpotensi ialah Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee, 54.

Pemilik Sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia ini merupakan Ahli Panel Majlis Sosial Sarawak; Majlis Perpaduan Sarawak; Ahli Jawatankuasa Induk One Stop Committee Menangani Isu Dadah Sarawak dan Ahli Jawatankuasa Induk PEMADAM Sarawak.

Nama beliau sebenarnya pernah disebut ketika Pilihan Raya Negeri yang lalu, sebagai antara pemimpin pelapis bagi DUN Jepak dan individu yang kurang isu, selain amat berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

Nama lain yang turut “panas” ketika ini ialah bekas Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak, Pandi Suhaili, 58, yang dilihat paling berpengalaman dalam politik kawasan tersebut.

Beliau merupakan Pengerusi Persatuan Anaq Vaie Bintulu, dan pernah menjawat Naib Ketua Pemuda Negeri.

Dua nama yang turut tidak ketinggalan disebut sebagai antara yang berpotensi ialah daripada cawangan jiran PBB Jepak iaitu Cawangan PBB Tanjong Batu. Datuk Haidar Khan Asghar Khan dilihat kerana pengalaman lamanya dalam politik di kawasan tersebut.

Beliau yang merupakan seorang usahawan terkemuka di Bintulu dan aktif dalam Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) kini merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang dipengerusikan Abang Johari.

Nama timbalan Haidar, Sophie Shariee tidak ketinggalan turut disebut-sebut sebagai antara yang wajar diketengahkan. Berpengalaman sebagai Exco Pemuda PBB Negeri, Sophie, seorang usahawan, merupakan penaung kepada Persatuan Bola Sepak Bintulu (BIFA), Pengerusi Perhubungan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Sarawak dan Naib Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia.

Nama Ali Asfia yang merupakan anak kepada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar muncul sejak 2021. Nama itu telah diketengahkan oleh beberapa kumpulan, sehingga Ali sendiri dilantik memegang jawatan pegawai khas dalam Jepak Jaya, yang Talib merupakan penaungnya.

Ketika artikel ini ditulis, beberapa nama lain turut disebut oleh penduduk Jepak.

Antaranya, bekas Timbalan Ketua Cawangan PBB Jepak, Saidi Abang Samsuddin dan bekas ahli jawatankuasa PBB cawangan tersebut, Mohamad Shahruddin Zaidil yang kini bertugas di Jabatan Tenaga Manusia di Kuching.

Ketika ini, proses melobi masih berlangsung kencang, menjadikan suhu politik di sekitar Bintulu begitu panas.

Dan difahamkan PBB Jepak akan mengemukakan pendirian mereka selepas satu mesyuarat khas yang akan berlangsung hari ini. 

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU

Berita yang menyedihkan – Datuk Sim Kiang Chiok

KUCHING : Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching Datuk Sim Kiang Chiok, menyifatkan pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib

Projek ART Johor bechuntoka pemujur Sarawak

KUCHING: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak deka nyadi malin ungkup projek ART ti deka dipejalai di nengeri Johor. Perintah Nengeri Johor benung ngelanggur