Sembilan petinju Sarawak akan berentap di Kejohanan Tinju Golden Gloves 2019

SEMBILAN petinju Sarawak akan berlepas ke Terengganu hari ini (Khamis) bagi menggalas cabaran ke Kejohanan Tinju Golden Gloves 2019 yang akan berlangsung di Kota Putera Square, dari 22 sehingga 27 Jun ini.

Menurut salah seorang petinju elit Sarawak Daeloniel Mcdelon, 20, kejohanan terbuka tahunan itu bakal menghimpunkan petinju dari seluruh negara berusia dari 18 sehingga 40 tahun.

Katanya, Sarawak akan diwakili lapan petinju lelaki dan seorang petinju wanita.

“Antaranya Jackson Chambai (52 kg), Wilson Berayin (56 kg), Roy Enggan (64 kg), Crisyuden Ripoh (69 kg), Rais Arsyad Sulam (75 kg), Azirul Sarie Misran (81 kg), Max Pavolosky Unggat (91 kg) dan saya sendiri yang akan berentap dalam kategori 60 kg.

“Sementera wakil tunggal wanita disandarkan kepada Elia Zonia Augustine dalam kategori 60 kg,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditanya pada sesi latihan terakhir di Kuching, semalam.

Menambah lanjut, pasukannya kali ini menyasarkan untuk melakukan yang terbaik.

“Kejohanan Tinju Golden Gloves kali ini disifatkan sebagai pendedahan baharu kepada atlet yang mengambil bahagian.

“Kalau ada rezeki, kami akan pulang dengan kilauan pingat… kami akan melakukan yang terbaik,” ujarnya menambah, pada tahun lalu Sarawak tidak menghantar penyertaan ekoran fokus dengan kejohanan Sukma 2018.

Ditanya tentang latihan, pasukannya menghabiskan masa sebulan sebagai persiapan ke kejohanan tersebut.

Beliau mengharapkan doa seluruh rakyat negeri ini agar pasukan tinju Sarawak beroleh kejayaan.

Pasukan tinju Sarawak diketuai pengurus Helman Morni dan turut berangkat sama hari ini, jurulatih Mejar Sapok Biki dan Wilbur Andogan.

SEDIA GALAS … Pasukan tinju Sarawak yang akan menggalas cabaran ke Kejohanan Tinju Golden Gloves 2019 yang akan berlangsung di Kota Putera Square, dari 22 sehingga 27 Jun ini.

Suara Sarawak