KAPIT: Kepala dan sayap burung Kenyalang, sisik tenggiling dan gaharu adalah antara beberapa bahagian hidupan liar terlindung dan terlindung sepenuhnya yang berjaya dirampas hasil penahanan ke atas seramai sembilan orang warga asing di Ulu Sungai Melatai, Baleh semalam.

Tangkapan dibuat oleh pasukan penguat kuasa Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sibu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton, kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM54,000.
“Kesemua suspek telah dibawa ke balai polis Kapit manakala barang rampasan dibawa ke Pejabat SFC Wilayah Sibu untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Bab 26),” katanya dalam kenyataan.
Zolkipli berkata kejayaan OBK adalah hasil laporan orang awam dan risikan berbulan-bulan yang dibuat oleh SFC.
“Terima kasih kepada PPM dan orang ramai kerana kerjasama serta sokongan yang diberikan semasa operasi ini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang menangkap, memburu, berniaga atau memelihara hidupan liar yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya boleh menghubungi talian hotline SFC di 019-8859996 (Kuching), 019-8883561 (Sibu), 019-8332737 (Bintulu), atau 019- 8290994 (Miri).
