KUCHING: Semangat pelajar universiti di Sarawak semakin membara memperjuang dan memelihara bumi daripada ancaman pencemaran plastik yang semakin serius di seluruh dunia.
Bertempat di Kolej Universiti i-CATS pada 23 Julai lalu, satu seminar bertemakan “Zero Plastik 2040” telah berlangsung sebagai sebahagian daripada kempen global anjuran Save the Earth from A to Z (ASEZ) sebuah kumpulan sukarelawan mahasiswa di bawah Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan.
Menurut kenyataan media, lebih 100 peserta hadir ke seminar yang berlangsung selama tiga jam setengah, terdiri daripada pelajar, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, serta agensi berkaitan.
“Penggunaan plastik yang berlebihan bukan saja mencemarkan tanah, sungai dan laut, malah turut menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau yang mempercepatkan perubahan iklim.
Atas kesedaran ini, pelajar universiti berganding bahu dalam usaha mengurangkan pencemaran plastik melalui pelbagai program advokasi dan aktiviti lapangan.
Seminar itu turut menampilkan beberapa penceramah jemputan, antaranya Dayang Sherrynazra dari Trienekens Sarawak Sdn Bhd yang berkongsi kepakaran tentang pengurusan sisa kimia dan makmal.
Turut hadir, Sophia Sik Sze Yong dari Sarawak Forestry Corporation (SFC), Ng Kai Ning dari Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), serta pegawai dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang mempamerkan produk baja kompos hasil sisa organik.
Selain seminar, ASEZ turut menganjurkan aktiviti gotong-royong pembersihan di Dataran Bandaraya Metro, Kuching pada 13 Julai lalu.
“Seramai 380 sukarelawan terlibat dan berjaya mengutip 1,253 kilogram sampah, dan 1,000 kilogram daripadanya adalah plastik boleh kitar semula.
Semangat sukarelawan ASEZ tak terhenti di Kuching sahaja. Mereka turut turun padang ke kawasan lain seperti Asajaya, Sabah, Johor, dan Selangor.
Antaranya, pada Februari lalu, 150 batang pokok bakau telah ditanam di Pantai Sejaie, Asajaya sebagai sebahagian usaha pemuliharaan alam sekitar.
Usaha mereka turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, termasuk Anugerah Emas Perkhidmatan Sukarelawan Presiden Amerika Syarikat dan Anugerah Green Apple dari United Kingdom.
Kempen “Zero Plastik 2040” kini menjadi satu seruan global yang semakin mendapat tempat dalam hati anak muda dan pelajar universiti di Sarawak membuktikan bahawa mereka mampu menjadi agen perubahan demi masa depan bumi yang lebih lestari.

