ARTIKEL

Semoga kau tenang di sana, sahabatku

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HAMPIR setiap hari saya melalui rumahnya kerana kami tinggal di kawasan yang sama.

Sejak saya membeli rumah di Kampung Pinang Jawa pada Ogos 1998, setiap pagi atau petang, saya pasti melalui rumahnya di Jalan Bunga Tongkeng, Petra Jaya.

Saya mulai mengenali beliau pada 1992 ketika saya menjadi pengetua sekolah.

Ketika itu, melalui seorang kenalan, beliau telah meminta saya berjumpa dengan beliau.

Beliau mempunyai hajat untuk saya membantu beliau dalam hal-hal berkaitan dengan tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian.

Sahabat saya itu, Datuk Abdul Ajis Majeed merupakan ADUN Balingian yang berkhidmat selama tiga penggal dari 1987 hingga 2001 sebelum digantikan oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau yang ketika itu berkhidmat dengan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) dibawa oleh Tun Taib untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri yang diadakan secara mengejut pada 1987, susulan peristiwa Ming Court.

Tun Abdul Rahman Yaakub, bapa saudara Tun Taib yang juga mantan Yang di-Pertua Negeri telah menentang PBB/BN melalui Permas.

Kesudahannya, Tun Taib berjaya menewaskan parti politik pimpinan bapa saudaranya itu. Sejak awal 1990-an, persahabatan kami semakin rapat.

Saya boleh katakan bahawa beliau juga yang menyebabkan saya meletakkan jawatan sebagai pegawai pendidikan di Jabatan Pendidikan Sarawak.

Namun, sebelum itu, beliau telah mencadangkan kepada Pengarah Pendidikan Sarawak pada waktu itu, Datuk Matnor Daim supaya memindahkan saya sebagai pengetua ke SMK Three Rivers, Mukah.

Permintaan itu telah dipersetujui oleh Pengarah Pendidikan.

Saya pasti sahabat saya itu mempunyai tujuan dan sebab tertentu mengapa beliau mahu saya menjadi pengetua di alma mater saya itu.

Saya pernah menjadi pelajar di sekolah berkenaan ketika melanjutkan pelajaran di tingkatan empat dan lima.

Namun, seseorang yang lebih berkuasa dalam politik telah menjadi hambatan kepada keinginan sahabat saya itu.

Saya sebenarnya begitu teruja untuk pindah ke sekolah tersebut kerana sedar bahawa itulah peluang terbaik untuk memberi perkhidmatan di kawasan saya dilahirkan dan dibesarkan.

Akhirnya, keinginan beliau untuk melihat saya menjadi pengetua di sekolah itu tidak kesampaian.

Maka, saya pun meletakkan jawatan apabila Abdul Ajis menawarkan pekerjaan di syarikat pembinaan beliau di Kuching.

Syarikat beliau terbabit dalam pembinaan jalan raya, bangunan, tali air dan sebagainya.

Ternyata, itu bukan pekerjaan yang sesuai untuk saya, maka tidak lama kemudian saya pun meminta untuk berundur.

Namun, itu tidak memutuskan hubungan kami berdua. Malah, hubungan persahabatan semakin rapat.

Pada 29 Februari lalu, saya menerima mesej melalui WhatsApp.

“Assalamulaikum Dato.

Masa tok Abang Ajis ada di IJN, Samarahan,” kata isteri beliau, Datin Hayati Suut.

Saya pun membalas, “Apa hal Datuk tek.”

“Masalah jantung,” jawab isteri beliau.

“Be strong and l am confident you will get well soon.

Wishing you a speedy recovery,” kata saya.

“Insya-Allah.

Thanks bro,” katanya lagi.

“Insya-Allah akan jumpa Datuk pada hari Ahad.

Isnin ke KL,” kata saya ringkas.

“I will be here insya-Allah,” jawab beliau.

Maka, pada Ahad, 3 Mac, bersama-sama seorang lagi sahabat, kami pun mengunjungi beliau di IJN Samarahan.

Ketika itu, kami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik.

Abdul Ajis dan isteri beliau telah berjumpa kami berdekatan dengan lif. Ketika itulah, beliau yang memakai kerusi roda, kami berdua tidak dapat menahan emosi apabila beliau meluahkan sesuatu yang mengejutkan saya.

Kami berpelukan dan gagal mengawal emosi masingmasing.

Pada waktu itulah beliau mengungkapkan kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga saya: “Please take care of my family.”

Ada sesuatu amanah yang harus saya tunaikan bukan sahaja sebagai sahabat, tetapi sebagai ‘adik’ kepada beliau.

Pada jam 8.42 pagi, 3 Mac beliau menghantar mesej yang begitu menyentuh hati saya.

“Assalamulaikum and good morning to you brother. Happy to see the sun this morning.

Hopefully be able to do so in the many many more days to come berkat doa kitak orang semua.

Have a blessed day.”

Saya pun menyatakan, insyaAllah beliau akan sembuh dan dapat kembali ke rumah.

Beliau berada di hospital berkenaan hampir dua minggu.

Selepas keluar dari hospital itu, keadaan kesihatan beliau semakin memburuk.

Beliau kelihatan semakin lemah dan beberapa kali saya ingin berjumpa dengan beliau di rumah, tetapi beliau tidak mengizinkannya kerana ketika itu, beliau hanya berada di dalam bilik tidurnya di tingkat atas.

Beliau sukar bernafas.

Beliau sukar berjalan dan tidak dapat naik tangga rumahnya.

Saya semakin khuatir.

Pada Sabtu lalu, saya bangun pada jam 4.27 pagi dan bersedia untuk pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 5.00 pagi.

Penerbangan saya ke Mukah dijadualkan pada jam 7.00 pagi.

Kekhuatiran saya akan kehilangan beliau suatu hari, akhirnya menjadi kenyataan.

Berita yang saya tidak mahu dengar akhirnya tiba juga melalui mesej WhatsApp daripada isterinya dan juga seorang sahabat baik pada awal pagi Sabtu lalu.

Abdul Ajis yang saya anggap sebagai abang saya telah kembali menemui Penciptanya pada jam 3.33 pagi, 27 April 2024.

Sesungguhnya kita semua ialah milik Allah dan kepada-Nyalah kita semua pasti akan kembali.

Allahyarham yang meninggal disebabkan masalah komplikasi jantung selamat disemadikan di Raudhatul Sakinah, Samariang.

Ketika mengiringi jenazah beliau dan akhirnya menyaksikan jenazahnya diturunkan ke liang lahad dan jasadnya mulai ditimbuskan dengan tanah, sukar hendak saya lukiskan perasaan ketika itu.

Sebagai hamba-Nya saya hanya dapat berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Ya Allah, ampunilah dia, berilah rahmat, sejahtera dan maafkanlah dia dan jadikanlah syurga sebagai tempat peristirahatannya.

Abdul Ajis sebenarnya telah mengalami masalah komplikasi jantung untuk sekitar 30 tahun dengan melalui dua kali pembedahan di Singapura. Beliau terpaksa menelan begitu banyak pil tanpa gagal setiap hari.

Sebagai orang yang mengenali beliau untuk 30 tahun, saya dapat menyaksikan sendiri bagaimana beliau begitu prihatin terhadap keperluan rakyat terutama golongan miskin dan pelajar ketika menjadi wakil rakyat.

Beliau cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan dan keperluan mereka, termasuk membeli basikal untuk pelajar sekolah dan membantu golongan miskin.

Beliau seorang yang begitu prihatin dan pemurah.

Sedapat mungkin Allayharham tidak mahu mengecewakan mereka.

Beliau benar-benar dapat menyelami perasaan mereka yang susah kerana beliau pernah hidup susah ketika di kampung.

Kematian seorang sahabat yang begitu baik hati membawa derita yang mendalam kepada semua yang mengenalinya.

Abdul Ajis bukan sekadar seorang teman; dia juga sosok yang selalu ada dalam setiap momen kehidupan, memberikan kehangatan, kebijaksanaan, dan kebahagiaan ketika saya bersama-samanya.

Teman sejati ialah sosok yang melihat sakit di matamu, sementara yang lain percaya senyum di wajahmu.

Saya masih teringat betapa Allahyarham dengan rendah hati memberikan bantuan kepada sesiapa tanpa mengharapkan imbalan apaapa pun.

Beliau begitu tulus dan memikirkan orang lain pun seperti dirinya. Itulah sebabnya ada yang mengambil kesempatan daripada keikhasan dan sikap pemurahnya itu.

Saya tahu bagaimana sedihnya beliau apabila orang diharapkannya, termasuk rakan ahli perniagaan yang mengurus syarikatnya menipu beliau.

Kini pemergian beliau telah meninggalkan kekosongan yang tidak tergantikan.

Pemergiannya telah meninggalkan duka yang mendalam.

Saat-saat itu terasa begitu hampa, seakan-akan sebahagian daripada diri telah hilang bersama-samanya.

Namun, meskipun kematian telah memisahkan kami, kebaikan dan cahaya yang dipancarkannya akan selalu bersinar dalam ingatan.

Kenangan akan kebaikan hatinya akan terus menginspirasi untuk menjalani hidup dengan penuh kasih sayang dan empati kepada sesama manusia.

Allahyarham telah memberikan teladan yang tak terlupakan tentang bagaimana seharusnya melayani keluarga, rakyat dan sahabat.

Beliau begitu komited untuk melihat kawasan yang diwakilinya membangun dan maju, dan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Ketika meratapi pemergiannya, saya juga menyedari betapa beruntungnya saya memiliki kesempatan untuk mengenal sosok yang begitu luar biasa ini.

Mungkin takkan pernah ada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa besar kehilangan ini bagi saya sebagai sahabat.

Namun, dalam keheningan hati, kita berdoa agar Allahyarham beristirahat dengan tenang di sisi Tuhan.

Semoga Allahyarham menemukan kedamaian abadi di syurga.

Kematian sahabat yang baik hati ini mungkin meninggalkan duka dan kesedihan yang dalam, tetapi kebaikan dan kasih sayangnya akan selalu mengalir dalam jiwa, mengingatkan saya bahawa cinta sejati tidak pernah mati.

Sesungguhnya, teman sejati sulit ditemukan, sulit untuk ditinggalkan, dan tidak mungkin untuk dilupakan. Selamat jalan sahabatku.

Semoga kau tenang di sana, sahabat sejatiku, Abdul Ajis Majeed. Al-Fatihah.

Dato Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

BERITA LAIN

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

Sik nyaman jangan makan

DI Sarawak selain agama, budaya dan pakaian – makanan merupakan benda paling sensitif jika orang luar menghina. Bukan orang Sarawak tidak menerima kekurangan, tetapi menghina

Selamat pagi cikgu

ADA yang tertekan kerana tinggal bersama-sama pesakit mental, ada yang daif dan ada yang terpaksa bekerja, demi kelangsungan hidup. Pada suatu hari, salah seorang murid

BERITA TERBARU