Sempat ‘bersahur’ dalam reban

MATU: Penghuni sebuah rumah terkejut apabila ayam peliharaan mereka dibaham ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter di Kuala Matu Hilir, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 5.00 pagi itu disedari salah seorang ahli keluarga terbabit selepas mendengar bunyi bising ayam ternakan mereka di dalam reban.

Dia yang hanya mahu dikenali Lai, 45, berkata, sebaik sahaja terdengar bunyi bising itu, dia kemudiannya melakukan pemeriksaan dan terkejut apabila mendapati ular sawa di dalam reban berkenaan.

“Sebaik dihampiri ia masih di dalam reban itu, tidak bergerak dan sedang kekenyangan kerana baru membaham seekor ayam milik kami,” katanya.

Lai memberitahu, dia terpaksa meminta bantuan jiran untuk mengeluarkan repitilia berkenaan kerana bimbang pada keselamatan dirinya.

“Bagaimana pun, kami tidak mempunyai pilihan lain, terpaksa membunuh ular itu kerana ia bertindak agresif sewaktu kami cuba menangkapnya,” katanya.