Sempurnakan jalan raya Sarawak

Sarawak, wilayah di Borneo memiliki bentuk geografi dan fizikal yang banyak sungai dan anak sungai, memisahkan daerah daratannya antara satu sama lain.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, semasa memegang tampuk kerajaan berikrar merancakkan pembangunan luar bandar.

Antara mekanisme yang mempercepat dan merancakkan pembangunan luar bandar ialah pembinaan jalan raya yang baik yang menghubungkan luar bandar dengan bandar.

Justeru, demi pencapaian drastik pembangunan negeri, ia memerlukan sistem perhubungan jalan darat yang efektif, selamat dan pantas, menghubungkan daerah dengan wilayah lain di Sarawak, sekali gus mendekatkan pedalaman dengan bandar.

Bahkan, jalan raya diperlukan bagi merapatkan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan pelbagai latar belakang.

Jalan Persekutuan dan Negeri

Selepas mencapai kemerdekaan, Sarawak mempertingkatkan sistem jalan rayanya di seluruh bahagian.

Jalan Persekutuan sepanjang 751.68 kilometer dan Jalan Negeri 28,077.82 kilometer, menjadi penghubung penting dari satu kawasan dengan kawasan lain.

Jenis pengangkutan air – sungai atau laut – memainkan peranan penting, Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri turut memainkan peranan tersendiri yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta sosial di negeri ini.

Jalan Pesisir Sarawak Rapatkan Pesisiran dan Wilayah

Pembinaan Jalan Pesisir menjadi alternatif kepada Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri sedia ada,sekali gus mewujudkan laluan pilihan selain Lebuh Raya Pan Borneo.

Abang Johari terus memberi sokongan penuh kepada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan meneruskan usaha merealisasikan Jalan Pesisir demi menghubungkan kawasan yang mempunyai penduduk berkepadatan tinggi di pesisiran Sarawak.

Jalan Pesisir sepanjang 896 kilometer ini terbentang dari Sematan menuju Miri serta menghubungkan kawasan pesisir dengan bandar utama di Sarawak.

Sarawak mempunyai banyak sungai, perkhidmatan feri diperlukan bagi penghubung jalan di sepanjang Jalan Pesisir.

Menurut Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi, terdapat tujuh laluan sungai utama yang merentang di sepanjang Jalan Pesisir ini dan sesuai dengan tuntutan masa, perkhidmatan feri perlu diganti dengan jambatan.

Justeru, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Abang Johari mengambil inisiatif membina tujuh jambatan di laluan tersebut iaitu: Batang Rambungan, Batang Lupar, Batang Saribas, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa dan Batang Igan.

Jalan Pautan Terputus

Kerajaan turut mencadangkan membina jalan Pautan Terputus (Missing Link) yang merangkumi:

i. Jalan Pasi, Sarikei/ Tanjung Manis, Mukah termasuk Jambatan Batang Rajang;

ii. Jalan Bintulu/ Jepak, Bintulu termasuk Jambatan Kuala Kemena; dan

iii. Laluan kedua Kuching/ Samarahan termasuk Jambatan Sg. Sarawak di Demak Laut.

Seterusnya, inisiatif turut diambil untuk menaik taraf 331 kilometer Jalan Pesisir sedia ada yang merangkumi 23 pakej di Kuching, Betong, Sarikei dan Mukah.

 

Jalan Utama Kedua Singkatkan Jarak Perjalanan 

Jalan Utama Kedua atau Second Trunk Road mampu memendekkan jarak perjalanan pengguna dari 400 kilometer kepada hanya 225 kilometer. Jalan ini bermula dari Kuching menuju Sri Aman, Betong dan Sibu.

Kejayaan projek ini memanfaatkan pengguna dari segi menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit. Dari segi ekonomi, hal ini menguntungkan peniaga, pengusaha kerana dapat menjimatkan kos penghantaran atau pergerakan syarikat.

Dari segi sistem pengangkutan, projek ini menyumbang kepada pembukaan kawasan bandar baharu bagi tujuan pembangunan.

Second Trunk Road mampu meningkatkan serta memudahkan perhubungan sebagai jalan alternatif ke rangkaian Jajaran Jalan Pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sebuyau, Lingga, Sri Aman dan Betong.

Jalan Sempadan (Border Security Roads)

Kerajaan Indonesia memindahkan ibu kota baharunya ke Penajam Paser Utara dekat Sepaku, Kalimantan Timur menjelang 2023. Sarawak turut dipercayai menerima tempias kerancakan pembangunan dan pemodenan kota tersebut.

Kerajaan Negeri turut mengambil pendekatan membangunkan rangkaian Border Roads, menyediakan akses antarabangsa di sepanjang sempadan Sarawak dengan Kalimantan.

Rangkaian jalan raya ini bermula dari Biawak ke Serikin dan Engkilili melalui Lubok Antu, Long Silat, Long Banga, Bario, Ba’kelalan, Long Semado, Long Sukang sehingga ke Lawas.

Pembinaan rangkaian jalan raya di sempadan ini, pada masa yang sama bertujuan melindungi kawasan sempadan termasuk aset bernilai Sarawak yang terletak berdekatan sempadan tersebut seperti Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) dan Empangan Hidroelektrik (HEP).

Berkaitan rangkaian jalan raya ini, antara bahagian utama yang dibina ialah:

i.Baleh Section & Feeder Road;
ii.Engkilili/Lubok Antu & Batang Ai Section;
iii.Serian/Tebedu Road upgrading to R5 Standard road; and
iv.Baram Section & Tinjar Feeder Road.