Trending

CERPEN: Semua haiwan harus bekerja

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Terngiang-ngiang ucapan Tuan Presiden di dalam kepala Tomas: “Semua haiwan peliharaan harus bekerja.

Kucing tidak boleh sekadar bermalas-malasan tanpa menyumbang apa-apa pada pendapatan keluarga yang menjaganya.

Anjing harus dilatih untuk membeli makanannya sendiri. 

“Satu jawatankuasa sudah ditubuhkan demi menyemak semula keperluan mengenakan caj bayaran rawatan kesihatan ke atas haiwan peliharaan dan bukannya pemiliknya.”

Tomas menatap wajah kucing dan anjingnya.

Kedua-duanya langsung tidak tahu berbicara.

Tidak tahu nilai wang ringgit.

Tidak tahu definisi rumah kos rendah. 

Hendak melatih haiwan-haiwan itu supaya cakna ekonomi sebenarnya sukar.

Namun, ucapan Tuan Presiden yang disokong penuh rakyat jelata itu ditokok tambah lagi: “Setiap pemilik haiwan peliharaan harus kreatif demi melatih haiwan-haiwan ini supaya mereka tidak sekadar menjadi liabiliti, tetapi juga sumber pendapatan tambahan.

“Alasan seperti haiwan tidak punya akal dan tidak mampu memikirkan nilai wang adalah dangkal. 

Kita sedia maklum, haiwan boleh dilatih untuk melakukan gerakan akrobatik yang mengagumkan. 

“Kucing boleh dilatih untuk membuang air di tandas.

Selaku manusia yang diberikan akal, wajarlah kita menggunakannya demi memastikan setiap liabiliti menjadi aset menguntungkan.”

Pening kepala memikirkan kreativiti yang bagaimana hendak diguna pakai. 

Hendak dirakam video berkaitan aktiviti kucing dan anjing, kelihatan seperti eksploitasi haiwan sangat. 

Haiwan patut disayangi dan bukannya disuruh bekerja.

Mungkin Tomas harus menukar perspektif.

Yang penting, kucing dan anjingnya suka dengan hal yang dilakukan.

Tidak perlu didera macam haiwan-haiwan di sarkas.

Biarpun Tuan Presiden sudah memperlakukan negara ini ibarat sarkas.

Tomas mengeluarkan telefon bimbitnya dan cuba merakam aktiviti kucingnya pada waktu ini, iaitu, tidur.

Puas dikuis dengan jari mahupun dikeletek perutnya, kucing itu tetap begitu juga, tidur nyenyak. 

Kecewa dengan kucing itu, Tomas segera mendatangi anjingnya yang juga sedang enak tidur di dalam tempat yang disediakan. 

Hari terlalu dingin untuk berbuat apa-apa barangkalinya sehingga anjing dan kucing itu begitu selesa tidur. 

Tomas melupakan sahaja hasrat merakamkan aktiviti anjing dan kucingnya itu. Klise.

Terlalu banyak video kucing dan anjing di media sosial.

Dia harus berbuat sesuatu yang lain. 

Demi mendapatkan ilham, Tomas keluar dari rumah.

Niatnya hanya mahu berjalan-jalan memerhatikan gelagat manusia dengan haiwan peliharaan masing-masing dengan harapan, idea akan datang.

Ketika singgah di kopitiam berhampiran rumahnya, Tomas terlihat kedai haiwan peliharaan lalu berniat mahu membelikan makanan anjing dan kucing yang sudah habis di rumahnya.

Ketika itu terbitlah satu idea di dalam kepalanya, di mana dia boleh menjadi pembekal aksesori untuk haiwan peliharaan tersebut. 

Pantas dia menatal telefon bimbitnya demi mengenal pasti aksesori yang sesuai diguna pakai binatang seperti kucing dan anjing. 

BANYAK KAJIAN

Sambil-sambil itu, dia mencari juga barangan keperluan yang digunakan untuk membela haiwan-haiwan eksotik.

Ia suatu kerja yang susah.

Banyak kajian harus dilakukan.

Dengan fikiran berserabut, Tomas membawa bekas minuman Americano yang berbaki separuh ke kedai haiwan. 

Sambil Tomas memilih makanan haiwan, dia ditegur pula oleh pekedai yang tampak begitu mesra.

Ya, mereka akrab. 

Tomas kerap juga mendatangi kedai itu kerana jaraknya yang begitu hampir dengan rumah.

“Eh, tak bawa Ceasar dan Jimmy?”

“Malas. Kerajaan sekarang macam-macam.

Risau aku tengok Ceasar dan Jimmy disuruh bekerja.”

“Itulah kan?

Tapi undang-undang baharu ada yang sudah diluluskan.

Sebab itulah aku tanya kaubawa ke tidak Ceasar dan Jimmy.”

“Kenapa perlu bawa mereka?”

“Nak beli kena ada kehadiran mereka.

Mereka yang kena bayar nanti, bukan kau!”

“Gila.

Bagaimana aku nak berkomunikasi dengan Ceasar dan Jimmy tentang kepentingan duit?

Kenapa aku selaku pemilik tak boleh nak belikan barang keperluan mereka?

Ingat Caesar dan Jimmy itu faham bahasa kita ke?”

“Entahlah, Tomas.

Begini. Aku bagi muka kali ini.

Bayar macam biasa, tapi kali ini saja tahu?

Dengar cerita, pegawai penguasa akan pantau dari semasa ke semasa.

Aku tak nak ambil risiko.”

“Baik. Lain kali aku ajar Caesar dan Jimmy untuk beli barang keperluan sendiri.”

Selesai pembelian, pantas barang itu disorokkan di dalam baju yang dipakainya.

Tomas bergerak keluar dari kedai haiwan dengan penuh waspada.

Risau juga kalau-kalau diperhati. 

Sepanjang perjalanan balik ke rumah, Tomas memikirkan betapa merepeknya undang-undang baharu tersebut. 

Manalah haiwan yang tidak berakal itu faham berjual beli. Kreativiti yang bagaimana lagi dimahukan Tuan Presiden? 

Sebaik sahaja tiba di rumah, Tomas berbaring di sofa lalu termenung panjang.

Di dalam imaginasinya, dia melihat Caesar dan Jimmy mengenakan pakaian kerja lengkap dengan tali leher dan kasut hitam. 

Mereka berdua pergi kerja, manakala dirinya pula terbaring malas menonton televisyen di rumah. 

Hampir-hampir dia mahu berteriak ketika Caesar dan Jimmy berpaling dan menyeringai ke arahnya.

Tomas menggeleng.

Dia bangkit dari sofa lalu bergerak ke bilik untuk memeriksa keadaan Caesar dan Jimmy. 

Caesar, si kucing sudah bangkit dari tidur dan sedang sibuk mengganggu ekor Jimmy yang jelas, selesa berbaring di tempatnya itu. 

Sebentar, Jimmy tidak pasif begitu.

Biasanya, kehadiran Tomas itu sahaja sudah cukup membuatkan Jimmy teruja.

Segera diusapnya kepala Jimmy. Ah, sakit agaknya, fikir Tomas.

Tanpa berfikir banyak, dia segera mendukung Jimmy dan membalutnya dengan tuala tebal.

Diletakkan di atas katil seketika.

Caesar pula didukung lalu diletakkan ke dalam sangkar mudah alih. 

Dia mahu membawa kedua-dua ekor binatang kesayangannya itu ke klinik haiwan.

Harap-harapnya tiada sebarang peraturan baharu yang merepek diperkenalkan.

Sepanjang perjalanan ke klinik haiwan, dia melihat bagaimana pemilik-pemilik haiwan peliharaan menguruskan haiwan-haiwan kesayangan masing-masing.

Ada yang mengajar anjing bercakap.

Ada yang melatih kucing untuk memegang kepingan duit kertas. 

Bahkan ada yang tergamak memukul seekor iguana di jalanan hanya kerana haiwan itu menjamah wang kertas yang diberi kepadanya. 

“Semua orang ini ada masalah komunikasi!” ujarnya kepada Jimmy dan Caesar yang tidak mengerti apa-apa tentang komunikasi.

Tibanya di klinik haiwan itu disambut dengan mesra.

Setiap orang di situ bercakap dengan haiwan seolah-olah haiwan mengerti apa yang diperkatakan. 

Namun, jelas sekali, tiada seekor haiwan pun mengerti harga khidmat perubatan yang ditawarkan. 

BAYAR KHIDMAT

Kaunter mula kecoh apabila salah seorang pemilik ular albino tidak dibenarkan mewakilkan diri membayar khidmat perubatan untuk ular peliharaannya. 

“Ular tidak boleh bercakap. Apatah lagi nak keluarkan wang dari dompet.

Jangan nak melawak.

Tak lucu langsung!” bentak pemilik ular tersebut.

Masing-masing tidak mahu terlibat.

Tiada salahnya pada kata-kata pemilik ular tersebut.

Melihat keadaan kecoh itu, Jimmy mula resah.

Tomas segera membawanya keluar dari klinik haiwan itu.

Caesar di dalam sangkar pula tenang, memantau persekitaran.

“Apa kita nak buat sekarang, Jimmy?

Boleh kaubayar sendiri di kaunter nanti?”

Jimmy menjelirkan lidah dengan mata berkedip-kedip.

Geleng tidak.

Angguk pun tidak.

Tomas angguk kepala, Jimmy ikut.

Tomas geleng kepala, Jimmy juga ikut. Tomas tepuk kepala sendiri.

“Hai, apa bendalah kerajaan suruh binatang urus hal sendiri macam manusia ni? Politikus memang harus gila ke?”

***

Jimmy kian lemah.

Tomas tiada pilihan.

Dia mengenakan maskot seekor anjing lalu mendukung Jimmy masuk ke dalam klinik haiwan tersebut. 

Setelah mengambil nombor giliran, dia duduk dengan Jimmy berada di ribanya.

Diusap banyak kali. 

Jimmy tampak begitu penat. Tomas berharap dia sempat merawat anjing kesayangannya itu sebelum keadaannya menjadi lebih parah.

Sementara itu, Caesar pula ditinggalkan di rumah. Televisyen sengaja dipasang kerana Caesar sukakan televisyen itu.

Kucing itu terpacak sahaja di atas sofa sambil menonton televisyen.

Tuan Presiden sedang berucap.

Di pentas kelihatan haiwan-haiwan domestik beratur dengan pemilik masing-masing. 

Sesekali ditunjukkan kerut wajah hadirin.

Ada yang kelihatan ragu-ragu.

Ada yang tersenyum tak sudah.

Ada yang sibuk menatal telefon bimbit. 

Tuan Presiden meneruskan ucapan tanpa peduli orang suka atau tidak. 

“Setiap yang bernyawa dan punya kudrat, harus dilatih untuk memberi nilai pada masyarakat.

Kerajaan terdahulu yang korup telah menjuruskan negara ke dalam krisis ekonomi yang begitu parah.

Sistem percukaian telah mengambil kira keadaan semasa.

Demi memastikan jurang pendapatan dikecilkan, kita telah mempraktikkan kempen ‘semua haiwan harus bekerja’ dengan mengambil kira kebajikan haiwan terbabit. 

Semestinya kita tidak mahu sebarang penganiayaan ke atas haiwan itu berlaku di negara ini.

Kita menyasarkan setiap isi rumah yang memiliki haiwan peliharaan akan meningkat sekali ganda pendapatan tahunannya. 

Justeru, kerajaan memperkenalkan polisi baharu demi meningkatkan tahap kemahiran haiwan-haiwan ini demi menjana pendapatan negara.”

Caesar tidak rasa ia perlu bekerja. Caesar tidak rasa ucapan Tuan Presiden itu bermakna.

Ia tahu, bila-bila masa sahaja Tomas akan balik ke rumah dan membelainya lalu memberinya makan. 

Ia menguap lalu membenturkan tubuhnya dalam bentuk lingkaran.

Kata-kata Tuan Presiden kian pudar perlahan-lahan.

***

Jimmy terkebil-kebil melihat Tomas membayar kos perubatannya di kaunter klinik haiwan.

Kostum anjing yang dipakai Tomas amat menyerlah dan memalukan.

Ketika membayar, beberapa orang pegawai penguat kuasa melangkah masuk lalu menangkap Tomas.

Melihat tangan Tomas digari membuatkan Jimmy bertindak ganas menyerang pegawai-pegawai penguat kuasa tersebut. 

Ia menggigit sesiapa sahaja yang cuba untuk menghalangnya.

Tomas cuba meredakan keadaan dengan mendakap Jimmy seeratnya. 

Sebaik sahaja Jimmy bertenang, Tomas membawa bersama anjingnya itu ke dalam van milik pegawai penguat kuasa. 

Sehingga ke saat itu, dia masih tidak dapat memahami mengapa haiwan peliharaan diwajibkan untuk membayar sendiri kos perubatannya itu. 

Hendak disalahkan polisi kerajaan, Tomas tidaklah membantah.

Dia percaya pasti ada masalah sewaktu taklimat ke atas pegawai-pegawai ini. 

JADI PUNCA

Ya, masalah komunikasi yang sekian lama menghantui organisasi bersistem seperti kerajaan pasti menjadi punca kepada salah faham ini.

“Jimmy kena belajar bercakap.

Bahasa manusia, ya.

Nanti boleh pergi kerja dan belajar,” pesan Tomas kepada Jimmy.

Pegawai-pegawai yang mengiringi tersengih sahaja.

“Manalah anjing tu tahu cakap,” ujar salah seorang daripada pegawai.

“Habis tu, kalau tak tahu cakap, macam mana nak beli ubat sendiri?” bentak Tomas.

“Janganlah gaduh-gaduh! Benda boleh bincang, kenapa nak gaduh?” tiba-tiba Jimmy bersuara.

Hakikatnya semua tahu haiwan tidak boleh berbicara seperti manusia. 

Menyedari kejanggalan kejadian itu, pemandu van mula panik, lalu memandu tidak keruan.

Van mula bergerak tidak lurus di atas lorongnya. 

Tomas menggelabah melihat tindakan pemandu van tersebut.

Pegawai-pegawai penguat kuasa kini berlaga tubuh akibat van yang hilang keseimbangan. 

Sebaik sahaja tiba di persimpangan, van itu meluru ke depan lalu dirempuh sebuah kereta yang begitu laju.

Van itu melambung dua kali memuntahkan isinya ke atas jalan raya.

Darah membentuk lopak. Jimmy menggeletar sebelum kaku menjadi bangkai.

Tomas terkedip-kedip matanya lalu melayang nyawanya. 

Barangkali, Caesar di rumah, menanti dengan malas, ketibaan Jimmy dan juga Tomas, yang tidak akan muncul selama-lamanya.

***

Entah bagaimana, heboh pula cerita tentang binatang mampu bercakap dan meluahkan rasa tidak puas hati kepada Tuan Presiden. 

Video seekor kucing mengiau dengan sari kata yang kononnya menterjemahkan setiap ngeongnya itu ke dalam bahasa manusia ligat beredaran di media sosial. 

Setiap individu yang merakam dan menyebarkan video tersebut pantas ditangkap pihak berkuasa. 

Penghinaan terhadap Tuan Presiden tidak wajar dibiarkan begitu sahaja bukan?

Kedaulatan undang-undang harus dipelihara sebaik mungkin. 

Tidak kurang juga insiden yang menampakkan bahawa setiap haiwan domestik itu sudah pandai bercakap dan memprotes.

Suatu ketika, jalan utama ibu kota terpaksa ditutup akibat ribuan ekor haiwan peliharaan berarak sambil membawa sepanduk.

Tindakan pantas dilakukan oleh pihak berkuasa dengan menangkap tuan empunya setiap binatang yang berjaya dijejak melalui nombor pendaftaran masing-masing.

Naratif setiap pemilik haiwan tersebut sama sahaja.

“Kami tak tahu apa-apa. Kami latih mereka untuk bekerja dan siapalah tahu, binatang ini kini sudah naik kepala.

Mungkin ini bala daripada Tuhan.”

“Anjing saya menuntut kenaikan gaji! Mereka tak nak duduk serumah dengan saya lagi!”

“Biawak peliharaan saya sudah lari dari rumah kerana tidak mampu menjaga anak saya.

Saya cuba tuntut keadilan di pejabat buruh, tetapi pejabat buruh kerap menafikan tuntutan saya dengan alasan binatang tak tahu berfikir.

“Saya rasa pejabat buruh itu bersekongkol dengan pihak pembangkang kerajaan kerana tidak menyokong dasar Tuan Presiden yang menggalakkan semua haiwan harus bekerja.”

Semakin lama, protes haiwan-haiwan peliharan ini berlarutan berhari-hari.

Kedai makanan dipecah masuk. Wang kertas yang menggunung di bank-bank habis digigit tikus.

Wabak penyakit yang berpunca daripada haiwan kian menular pantas.

Tuan Presiden kebingungan.

Rumahnya kini terpaksa dipantau demi mengelak pencerobohan haiwan tersebut.

Entah berapa banyak bangkai haiwan yang berkumpul saban hari akibat dibunuh oleh pengawal.

Biarpun Tuan Presiden percaya setiap musibah yang melibatkan haiwan-haiwan peliharaan ini dikendalikan oleh pihak lawan, tetapi kebenarannya dikaburi dengan cerita sensasi yang dibawakan oleh keanehan tindakan binatang-binatang itu.

Pada suatu pagi, Tuan Presiden berpendapat dia harus bertindak demi membetulkan keadaan.

Polisi semua haiwan harus bekerja akan dimansuhkan.

Dia akan memohon maaf kepada setiap rakyat yang terjejas melalui suatu pemohonan maaf secara terbuka.

Jika perlu, dia akan mendatangi setiap rumah dan menghulurkan bantuan sewajarnya ke atas setiap rakyat yang tertindas akibat polisi demi polisi mengarut yang dilaksanakan pentadbirannya.

Kedengaran ketukan bertalu-talu dari pintu bilik.

Nada cemas pantas menguasai keadaan.

Tuan Presiden pantas bangkit daripada perbaringan lalu membuka pintu. Isterinya masuk dengan wajah pucat. “Tikus! Tikus!” “Kenapa dengan tikus?!”

Sebelum sempat isterinya memberikan penjelasan, Tuan Presiden dapat merasai gegaran dan bunyi decitan menyeluruh dari segenap arah.

Dia melongo tatkala melihat tingkap biliknya mula ditenggelami gerombolan tikus sebegitu banyak.

Ketika itu, dia hanya berdoa kepada Tuhan agar dirinya diselamatkan daripada petaka.

Sebaik sahaja tikus merempuh masuk, Tuan Presiden meloncat-loncat lalu berikrar tidak melaksanakan polisi tidak masuk akal lagi.

Namun jelas, sudah terlambat untuknya melakukan apa-apa.

Tikus terus mengerumuni, menenggelamkan rumah agam Tuan Presiden dan memusnahkan apa-apa yang pernah berada di situ.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

SANGGAR PUISI

SARAH ROSS4 November 2023Bukit Katil. Maafkan Untuk Ingatan  Yang Sering

HUJAN JATUH KE PASIR

Karya: AMERSARAWAKSADONG JAYA. “Salam… semua. Ada tak sesiapa yang ada

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru