Semua mangsa banjir dalam PPS diberi keperluan asas secukupnya

KUCHING: Semua mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diberi keperluan asas secukupnya.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, makanan yang dimasak turut diagihkan kepada mereka sebanyak tiga kali sehari.
“Sebelum ini, kita ada mengadakan aktiviti memasak dan makan bersama tetapi kerana penularan wabak Covid-19, aktiviti itu tidak dibenarkan.
“Kita akan memastikan keperluan asas mangsa mencukupi termasuklah keselamatan dan kesihatan mereka di tahap yang terbaik,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke PPS SJK (C) Chung Hua Sungai Tengah, Sejijak, hari ini.
Sementara, Fatimah telah membuat lawatan ke PPS SMK Batu Kawa selepas menerima laporan media tempatan menyatakan mangsa dari Desa Wira Lorong 5I yang berada di Dewan sementara mengalami kekurangan bekalan makanan.
Jelasnya, laporan itu memohon bantuan daripada pihak berkaitan untuk membekalkan makanan.
“Sebenarnya, tempat pemindahan terbabit adalah atas inisiatif Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Wira 5I khas untuk penduduk berkenaan tanpa didaftarkan sebagai PPS.
“Lebih menyedihkan apabila dewan sementara itu turut dinaiki air pada malam Rabu lepas, dan kesemua mangsa dinasihati berpindah ke PPS Batu Kawa,” ujarnya.
Menurut beliau, sebanyak 18 keluarga dipindah ke bilik kelas bagi mengurangkan kesesakan di dalam dewan sekolah apabila mangsa dari Kampung Sureh turut menggunakan tempat berkenaan.