Semua mangsa selamat

DARO: Tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal dalam kejadian kebakaran rumah jenis tidak kekal di Kampung Masjid Daro, semalam.

Insiden kira-kira 7.45 malam itu juga mengakibatkan kediaman mangsa dan empat buah kenderaan musnah sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Mohd Noor Abdullah berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 7.49 malam.

Operasi pemadaman katanya, membabitkan seramai 18 anggota penyelamat termasuk pegawai dengan menggunakan dua buah jentera.

“Mangsa bernasib baik apabila sempat keluar daripada kediaman itu untuk menyelamatkan diri. Kesemua mereka terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata, bomba menggunakan satu aliran 200 kaki, satu breeching dan dua pancutan dari sumber air terbuka.

Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak ke kediaman berhampiran pada jam 8.21 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada 1 pagi.

“Kejadian ini tidak melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Difahamkan semua mangsa menumpang sementara di rumah saudara mereka.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA), Sesco dan penduduk kampung.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.