Semua penghantar makanan wajib jalani saringan Covid-19

PUTRAJAYA: Semua pekerja penghantar makanan yang berkhidmat dengan syarikat e-hailing atau dilakukan secara persendirian perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu diputuskan semalam dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

“Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat e-hailing yang beroperasi.

Manakala bagi restoran makanan segera, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan arahan sama.

“Bagi kawasan luar bandar dan bandar-bandar kecil iaitu di kawasan syarikat e-hailing tidak beroperasi, pengusaha makanan boleh menggunakan khidmat penghantaran syarikat lain ataupun individu.

“Penghantar makanan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Mereka juga perlu menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Kerajaan atau klinik swasta berdekatan.

“Syarat yang dikenakan ini bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya dalam sidang media semalam.

Suara Sarawak