Semua pihak harus hormati kearifan Agong – Mohamad Hasan

SEREMBAN: Kemelut politik yang sedang melanda Malaysia ketika ini perlu diselesaikan segera, demikian kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sudah sampai masanya untuk perkara berkenaan diserahkan kepada kearifan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ini seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan (Persekutuan) bagi memberikan jalan keluar dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia. Parlimen Malaysia bukan forum untuk melantik PM (Perdana Menteri).

“Semua pihak harus menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong dan tidak mendahului Tuanku dalam apa jua keadaan pun. InsyaAllah kebijaksanaan Baginda akan kita jadikan pedoman dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada Isnin (2 Mac) bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. – Bernama

Suara Sarawak