Semua pihak harus titikberatkan keselamatan

KUCHING: Insiden kenderaan pacuan empat roda terjunam di sungai Batang Lupar di pangkalan feri Triso-Sebuyau dapat dielakan sekiranya semua pihak menitikberatkan keselamatan.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sepatutnya ada penghadang untuk mengelakkan kenderaan masuk ke tanjakan feri sekiranya feri penuh.
“Penghadang berkenaan berfungsi sebagai penutup laluan bagi memastikan tiada kenderaan ke tanjakan feri selepas ia penuh.
“Dan para pemandu kenderaan juga harus berhati-hati,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Sarawak hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan kehilangan banyak nyawa dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Justeru, beliau meminta agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membina jambatan di sungai-sungai mega di Sarawak.
“Apabila wujudnya jambatan, perkhidmatan feri mungkin tidak diperlukan lagi.
“Ini demi keselamatan orang awam,” ujarnya.