HSL berbuka puasa bersama pengamal media di Sarawak.

Semua pihak perlu bersabar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman
Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman

KUCHING: Semua pihak perlu bersabar dan memahami proses rundingan berhubung Perjanjian Malaysia (MA63) bukan satu usaha yang mudah termasuk penurunan hak atau kuasa autonomi kepada Sarawak.

Penganalisis Politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, dalam isu MA63 sememangnya terdapat usaha yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kita melihat ketika ini juga banyak kemajuan mengenai tuntutan di bawah MA63 telah berhasil terutama sekali dari segi ekonomi termasuk royalti minyak. “Tidak mustahil Kerajaan Sarawak juga mungkin menggunakan kedudukan ekonomi yang stabil untuk merancang pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” kata beliau kepada Suara Sarawak ketika dihubungi kelmarin.

Terdahulu, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian menyatakan beliau telah mencadangkan supaya empat kementerian atau sebahagian daripada fungsi kementerian iaitu pendidikan, kesihatan, infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya, dan sebahagian daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) diturunkan kepada wilayah ini.

Kata Baru lagi, dengan perkara tersebut Sarawak dapat membuat keputusan mengenai pendidikan sendiri, dasar dan keutamaan program infrastruktur seperti infrastruktur jalan raya yang jauh ketinggalan di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, Fadzil menambah beliau tidak menafikan cadangan Baru melibatkan empat perkara itu adalah sesuatu yang wajar tetapi perlu difahami ia bukan satu proses yang mudah.

“Perkara itu (cadangan Baru) tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat, kita juga tidak boleh berharap semua perkara dapat dilakukan dalam satu masa terutama sekali apabila melibatkan usul integrasi nasional, keseragaman pendidikan termasuk juga persediaan infrastruktur dan sebagainya.

“Ia terlalu kompleks dan bukan semudah menurunkan kuasa semata-mata… kerana ia terpaksa melalui pelbagai proses,” ujarnya.

Dalam pada itu, Baru juga mempersoal tentang ketelusan mengenai perbincangan ke atas perkara penting melibatkan MA63 sekali gus mendakwa Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali selalu memberikan kenyataan tidak jelas mengenai kemajuan rundingan MA63.

Menurut Fadzil, beliau melihat tiada apa yang hendak diselindungkan oleh Kerajaan Sarawak mengenai ketelusan pendidikan dan kesihatan.

“Bagi saya sama ada pembangkang atau kerajaan, rakyat Sarawak ini secara keseluruhannya memang bersama-sama berjuang untuk mendapatkan penurunan kuasa dari segi pendidikan dan kesihatan untuk kesejahteraan rakyat wilayah ini.

“Jadi kalau tidak telus, apakah tujuannya? Sedangkan rakyat Sarawak sendiri mahukan perkara itu berlaku. Mungkin banyak perkara yang perlu dilihat.

“Jadi mudah apabila kita dalam posisi pembangkang mengatakan itu dan ini contohnya semasa Pakatan Harapan (PH) dahulu mereka berjanji hendak memberi pengecualian kepada bayaran tol tetapi selepas diberi kuasa ia masih tidak dapat dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa, isu penurunan kuasa itu bukan hanya melihat kepada pembentangan usul, perdebatan dan sebagainya tetapi juga dari segi persediaan untuk melaksanakannya kelak.

“Oleh itu, isu sedemikian tidak perlu dipertikaikan lambat atau cepat,” katanya lagi.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

30 Mac 2023

Berita Terbaru