Semua rumah bercahaya pada 2025

KUCHING: Kementerian Utiliti menyasarkan bekalan elektrik akan meliputi seluruh negeri menjelang 2025, kata Menteri Mudanya Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Kata Abdul Rahman, langkah itu turut membabitkan 100 peratus bagi setiap isi rumah luar bandar dan pedalaman manakala di kawasan bandar, program itu akan siap pada 2021.

“Justeru, Kementerian Utiliti menyediakan dua kaedah iaitu Assistant Wiring System (AWS) dan program khas Sares,” katanya pada Majlis Hari Raya di Pusat Khidmat Dun Pantai Damai di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, AWS merupakan satu skim membantu keluarga kurang mampu supaya mendapatkan meter pemasa- ngan elektrik secara ansuran.

“Diharapkan keluarga kurang mampu memaklumkan kepada wakil rakyat masing-masing jika ada masalah. Kita tidak mahu meminggirkan mereka yang kurang mampu. Kita bantu mereka supaya sama-sama menikmati cahaya,” katanya.

Jelasnya, Sares adalah program khas lebih tertumpu kawasan di jauh pedalaman.

“Program ini menyalurkan bekalan elektrik melalui penggunaan sistem solar dan membina empangan hidro kecil bagi kampung berdekatan sungai dan dijangka selesai menjelang 2021,” katanya.

Mengenai pemasangan lampu jalan, kata Abdul Rahman perkara itu diserahkan kepada Sarawak Energy bagi mempercepatkan lagi proses pemasangan lampu jalan seluruh negeri.

“Mungkin dengan cara sebegini pemasangan lampu jalan dapat dipercepat dan masalah tersebut mungkin selesai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata untuk permohonan pemasangan elektrik, orang awam seperti ketua kaum boleh dibuat dan hantar terus ke Sarawak Energy.

“Kos untuk pemasangan bekalan elektrik ini bergantung pada jenis lokasi di seluruh negeri dan kita lihat juga kepada jenama digunakan. Hal ini kerana ada juga yang menggunakan lampu jalan LED dan lampu solar. Jadi kita lihat kos dulu,” ujarnya lagi.