Semua stesen Telemetri harus dinaik taraf supaya berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan semasa banjir

BAU: Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin mencadangkan supaya stesen-stesen telemetri dinaik taraf agar berfungsi dengan lebih berkesan dan cekap dalam mengawal risiko banjir pada masa akan datang.
Menurutnya, kesemua 22 unit stesen telemetri yang terletak di kawasan tadahan Sungai Sarawak beroperasi menggunakan tenaga solar.
“Setakat ini, kesemua stesen beroperasi dengan baik sejak mula dibina pada 23 tahun yang lalu.
“Namun demikian, kita perlu menaik taraf kesemua stesen ini supaya dapat berfungsi dengan lebih berkesan dan cekap dalam memberi awal amaran banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mengadakan lawatan kerja di Stesen Telemetri Siniawan, semalam.
Kim Shin berharap agar Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) sentiasa memastikan kesemua stesen itu berfungsi dengan baik terutamanya pada musim hujan di penghujung tahun.
Selain itu, beliau juga menasihati penduduk di kawasan berisiko sentiasa peka dan bersedia untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum banjir melanda.
“Saya berharap agar pihak LSS mengadakan lebih banyak program dan kempen kesedaran mengenai fungsi stesen telemetri kepada penduduk yang tinggal di sekitar kawasan stesen tersebut.
“Tujuan program kesedaran adalah supaya dapat mendidik dan memberi panduan kepada penduduk setempat mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya sistem amaran penggera berbunyi,” jelasnya.

Datuk Lee Kim Shin memeriksa keadaan di Stesen Telemetri Siniawan