HSL berbuka puasa bersama pengamal media di Sarawak.

Semuanya untuk rakyat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang pembangunan strategik yang berpandangan jauh dengan pendekatan ekonomi moden dan digital bagi membolehkan status negeri maju berjaya dicapai menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, zaman berteraskan penggunaan teknologi memberi peluang kepada Sarawak untuk menjadi pemain utama di pentas global.

“Ketika saya mengambil alih kepimpinan kerajaan, saya mempunyai impian untuk pembangunan Sarawak sealiran dengan perkembangan zaman dan mempunyai tenaga kerja yang dapat membangunkan ekonomi negeri.

“Apabila kita mempunyai kepakaran sendiri, sudah tentu ekonomi negeri akan melonjak dan sebab itulah saya melancarkan pendekatan ekonomi digital.

“Malah dasar ini bukan hanya tertumpu di kawasan bandar, ia termasuk membangunkan kawasan luar bandar,” katanya dalam temu bual Program Steadey sempena Hari Sarawak secara langsung di TV Okey.

Menurutnya, Sarawak kini masih mempunyai beberapa kelemahan khususnya di luar bandar seperti kekurangan kemudahan infrastruktur jalan raya, air, elektrik dan Internet.

“Malah kawasan berdekatan Kuching menghadapi kekurangan bekalan air dan elektrik.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku pada zaman sekarang. “Oleh itu, saya berikan peruntukan yang amat besar untuk pembangunan terutama bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar.

Begitu juga dengan pembinaan jambatan di jalan pesisir.

“Semua projek ini dijangka siap menjelang tahun 2025 dan apabila siap nanti, akan membuka potensi pembangunan pertanian moden untuk penduduk kawasan tersebut.

“Sebab itulah saya unjurkan pendekatan ekonomi digital, manakala dari sudut pendidikan pula kita rangkumkan dengan cara pembelajaran bersemuka menggunakan teknologi.

“Pendekatan ini sudah bermula empat tahun lalu, belum siap sepenuhnya dan sedang kita laksanakan.

Dijangka siap sepenuhnya di seluruh Sarawak menjelang tahun 2026,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai aspirasi menjadikan Sarawak negeri maju dalam tempoh sembilan tahun lagi, Abang Johari berkata, semua usaha yang beliau lakukan untuk keselesaan rakyat negeri ini.

“Yang penting rakyat negeri ini akan meneruskan usaha kita menjaga Sarawak seperti ketika bermulanya kita mentadbir sendiri pada tarikh keramat 22 Julai 1963.

“Bermula daripada pemimpin terdahulu, kemudian disambung saya dan seterusnya generasi selepas saya yang akan meneruskan usaha ini dalam pendekatan yang mungkin sedikit berbeza dalam era baharu.

“Paling penting adalah rakyat Sarawak jaga Sarawak, harapan adalah supaya negeri kita terus aman, makmur dan rakyat hidup senang dalam menempuh kehidupan akan datang,” katanya.

Tegas Abang Johari, keupayaan untuk membuat keputusan sendiri penting bagi menentukan masa depan agar mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri lain.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

31 Mac 2023

Berita Terbaru