PUTRAJAYA: Jemaah Menteri memutuskan supaya pengenalan seni tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diteruskan seperti dirancang mulai tahun hadapan.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu sidang media berhubung isu tersebut di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini semalam berkata, jemaah menteri dalam keputusannya memaklumkan bahawa pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat dalam buku teks.
“Jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksana secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing,” katanya lagi.
Tambah Maszlee, jemaah menteri juga secara bersepakat bersetuju agar pengenalan tulisan khat tidak akan dinilai dalam apa- apa juga ujian atau peperiksaan.
Jelas beliau, mesyuarat jemaah menteri pada Rabu lepas telah meneliti semua pandangan termasuk yang dibangkitkan di media massa sejak minggu lalu mengenai isu tersebut.
“KPM berharap melalui keputusan yang dibuat oleh mesyuarat Jemaah Menteri, isu pengenalan tulisan khat tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai,” katanya lagi.
Tambah Maszlee, kementerian dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara.
Jelas beliau, pengenalan seni tulisan khat bertujuan memperkenalkan warisan bahasa Melayu dan warisan negara kerana khat dan jawi bukanlah satu perkara asing dalam negara.
“Kementerian akan perkenalkan mereka (murid Tahun Empat SJKC dan SJKT) dengan perkara yang dekat dengan diri mereka contohnya jata negara dan wang kertas yang ada tulisan jawi dengan khat tertentu. Begitu juga kalau kita lihat pengisytiharan kemerdekaan, Rukun Negara, lambang Polis Diraja Malaysia dan jata negeri-negeri.
“Ini bukanlah Arabisasi atau Islamisasi. Yang penting memperkenalkan anak-anak kepada warisan negara dan sejarah bahasa Melayu. Ini unsur saling menghormati kebudayaan dan warisan yang ada,” katanya lagi.
“Khat tidak akan menjadi subjek tetapi ia hanyalah aktiviti dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana sekiranya guru tidak mengajar tulisan khat di kelas mereka, beliau berkata ia dimuatkan dalam buku teks tetapi terpulang kepada para guru menggunakan kreativiti mereka.
“Jika guru pilih untuk tidak mengajar seni penulisan khat, terserah kepada guru,” kata Maszlee lagi.
Mengenai soalan sama ada guru akan berdepan tindakan sekiranya tidak mengajar khat, Maszlee berkata: “Ambil tindakan? Kami tidak mahu memaksa orang, kami mahu masyarakat mempelajari bahasa satu sama lain dan menghargai sejarah negara”. Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching meng- umumkan pengenalan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks (Bahasa Melayu) di semua sekolah dalam negara di SJKC dan SJKT.
Sabtu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.