KUCHING: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dun Tebedu, Senior William Rade komited untuk membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung terutamanya golongan petani.
Menurutnya, infrastruktur asas di kawasan Tebedu telah tersedia ada dan ramai yang telah menikmati kemudahan berkenaan, namun kadar peningkatan ekonomi golongan terbabit masih kurang memberansangkan.
“Sekiranya diberikan peluang kali ini, meningkat taraf hidup golongan petani adalah menjadi agenda utama saya di kawasan Tebedu.
“Antara perancangan untuk golongan ini ialah menyediakan pusat pengumpulan hasil pertanian dan menghantar keluar produk-produk mereka ke pasaran.
“Selain itu, kita mahu Tebedu dijadikan sebagai pusat produk pertanian kerana istimewanya kawasan ini adalah berdekatan dengan sempadan Kalimantan, Indonesia, maka proses untuk membekalkan hasil pertanian ke negara jiran juga lebih mudah,” katanya semasa ditemu bual Suara Sarawak, hari ini.
Tambah beliau, sekiranya taraf hidup golongan pertanian semakin bertambah maka lebih ramai anak-anak mereka mampu dihantar ke sekolah atau mengikuti pengajian di peringkat universiti.
Jelasnya, PKR merancang menyediakan satu dana khas untuk anak-anak petani di kawasan Tebedu bagi membantu mereka yang menyambung pelajaran di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.
“Dana tersebut bukanlah berbentuk menyeluruh tetapi sebagai pemulaan untuk anak-anak ini memulakan pelajaran,” jelasnya.