Trending

Sentiasa ada pilihan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PILIHAN seperti bayang-bayang yang sentiasa ada dan menemani manusia sepanjang menjalani kehidupan. Pilihan wujud dalam apa-apa juga keadaan.

Ungkapan “saya tidak memiliki pilihan dan terpaksa berbuat demikian” merupakan suatu frasa bagi individu yang tidak memahami sepenuhnya suatu keadaan yang dialami.

Memilih untuk terus berdiam tanpa melakukan apa-apa juga merupakan satu pilihan dan setiap pilihan yang dibuat mempunyai kesan terhadap diri.

Dalam membuat pilihan, kita juga haruslah memiliki persediaan yang teliti bagi mengurangkan risiko setelah membuat sesuatu pilihan. Hidup ini penuh dengan pilihan dan kita dipersoalkan dengan pilihan yang kita lakukan.

Oleh itu, jika anda tidak memilih untuk mencari, tidak berusaha mendapatkan pilihan lain dan berserah dengan apa-apa saja yang ada, maka itu juga pilihan.

Zainordini yang juga dikenali dengan nama pena Muharikah berkongsi dari sekecil-kecil maksud pilihan sehingga cara membentuk kerangka fikir dalam menentukan pilihan tepat.

Dalam salah satu bab, beliau turut menyelitkan cara pemikiran menang yang diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW.

Penulis tidak lari daripada landasan agama dalam menyatakan hujah seperti menyelitkan firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW.

Penulis menegaskan untuk menjadikan suatu pilihan itu tepat, kerangka fikiran haruslah seiring dengan keputusan yang hendak dibuat dan pembentukan minda matang perlu diutamakan.

Buku ini seolah-olah panduan bertulis bagi masyarakat yang masih keliru untuk membuat pilihan dalam hidup mereka.

Segala penulisan beliau adalah dari pengalaman tersendiri yang dikaitkan dengan pelbagai aspek dan konsep menjurus kepada pembentukan kerangka minda.

Di samping itu, buku ini menyentuh beberapa prinsip untuk melatih diri agar pemikiran bergerak releven dengan dunia semasa dan setiap keputusan yang dilakukan sejajar dengan kehidupan pada masa dunia serba moden ini.

Penulis menyatakan kita adalah apa-apa yang kita fikirkan.

Jika kita berfikir untuk menang, maka kita menuju ke arahnya. Penulis menggunakan senario yang dekat dengan masyarakat untuk menyelam ke hati pembaca supaya segala penyampaian yang dilakukan, difahami dan turut dijadikan pedoman dalam kehidupan realiti.

PEMIKIRAN MENANG

Penulis menekankan bahawa orang yang mempunyai pemikiran menang tidak duduk diam menunggu untuk melihat bukti sebelum memulakan sesuatu langkah.

Seseorang yang mempunyai kerangka fikir berjaya akan bergerak dan mempunyai keinginan menjadikan diri dia sendiri sebagai bukti kepada kejayaan tersebut.

Berpandukan kitab Fadhail al-shahabah, penulis memasukan sabda Nabi Muhammad SAW berkenaan cara pemikiran menang sahabat baginda.

Pada kehidupan yang baru hendak bermula pada zaman Rasulullah, para sahabat sudah berlumba-lumba untuk berbuat kebaikkan, malah ada di antara para sahabat Baginda berasa sedih kerana tidak dapat mengejar kebaikkan sahabat yang terdahulu.

Di sini penulis ingin menyampaikan mesej agar masyarakat pada hari ini menjadikan kejayaan orang lain sebagai inspirasi untuk terus berusaha menjadi lebih baik.

Dalam usaha membentuk kerangka fikir untuk memajukan diri, latihan merupakan sesuatu yang menghasilkan kesempurnaan.

Setiap insan dikurniakan dengan potensi berbeza dalam diri masing-masing.

Tidak dinafikan bahawa tidak semua mempunyai bakat yang sama.

Tetapi penulis tegas menyatakan bahawa kemahiran boleh dipupuk dan diasah melalui latihan berterusan.

Minat dan kemahiran sangat membantu dalam mengoptimumkan latihan dan mencapai potensi diri.

Masa latihan yang diambil seseorang amat berbeza dan penulis menyarankan untuk menikmati masa tersebut dan bergembira dengan hasilnya nanti.

Batasan kejayaan ditentukan oleh cara kita melihat kejayaan tersebut.

Sekali lagi, kerangka fikir yang positif dan luas sangat memberi kesan kepada imej yang dilihat oleh diri sendiri.

Sekeliling kita juga memainkan peranan dalam mempengaruh gaya fikir kita.

Jadi penulis turut menyatakan beberapa contoh lingkungan yang boleh membentuk budaya kita.

Lingkungan pengaruh dari tempat kerja sehingga ke pemilihan mentor dapat membentuk budaya menuju kejayaan yang menjadi amalan pada diri kita.

Penulis juga menyatakan lima teras yang diamalkan oleh organisasi tempat beliau bekerja.

Teras tersebut menjadi panduan organisasi tersebut dalam merangka lingkukan yang berbudaya baik.

Memiliki orang yang tepat sebagai lingkungan sekeliling mewujudkan budaya dan cara fikir yang matang untuk terus berjaya.

Menemukan orang yang baik juga merupakan satu rezeki.

Untuk mendapatkan hasil, kita haruslah memulakan langkah dan terus bergerak kehadapan, bukan terus mengeluh atas setiap kesusahan yang dihadapi.

Setiap apa-apa yang kita mulai pasti bertemu dengan sesuatu yang tidak diingini, tetapi kegagalan merupakan satu batu loncatan untuk belajar dengan lebih cepat.

Jadi mulakanlah langkah untuk mencapai perkara yang tinggi di dunia dan akhirat.

Sudah tiba masanya untuk membuat keputusan bagi diri sendiri, memilih apa-apa yang dimahukan untuk hidup bahagia dan gembira dengan memilih apa-apa yang terbaik untuk diri sendiri.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Jadi lebih baik

TAJUK: MENCARI MAKNA HIDUP PENERBIT: PTS MILLENNIA SDN. BHD. PENULIS:

Amukan Prebet Adam

BUKU bertajuk Konfesi Prebet Adam yang ditulis oleh Syahril A.

Perjalanan dunia koma

BERSEDIAKAH kita pergi ‘sebelum waktunya? Apakah kita cukup bersedia meninggalkan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru